KUALA LUMPUR – Cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui untuk mewujudkan Menteri Hal Ehwal Bukan Islam boleh mewujudkan perpecahan dalam masyarakat serta menghakis semangat perpaduan nasional.
,yan jelas bertentangan dengan prinsip pentadbiran inklusif negara.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu Mohd Zulfadli Amiruddin berkata, cadangan itu bukan sahaja tidak berasas malah bertentangan dengan prinsip inklusif negara.
“Malaysia sejak merdeka mengamalkan sistem pentadbiran yang menjaga kepentingan semua rakyat tanpa mengira agama.
“Isu berkaitan bukan Islam telah lama diurus dengan baik melalui pelbagai mekanisme sedia ada dalam kerajaan.
“Maka, tiada keperluan untuk membentuk kementerian khusus yang hanya akan membawa kepada polarisasi agama dalam pentadbiran negara,” katanya
Beliau berkata demikian mengulas cadangan Ahli Parlimen Raub agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu satu untuk urusan agama Islam dan satu lagi untuk hal ehwal bukan Islam.
Zulfadli juga berkata, sekiranya cadangan itu diterima, ia boleh menjadi duluan berbahaya dan membuka ruang kepada tuntutan kementerian berasaskan agama lain, akhirnya menghakis semangat kebersamaan yang telah dibina selama ini.
“Pemimpin politik sepatutnya memainkan peranan dalam mengukuhkan perpaduan dan keharmonian, bukannya mencadangkan sesuatu yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama.
“Oleh itu, saya mendesak Ahli Parlimen Raub untuk menarik balik cadangan ini dan tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian negara,” katanya.
Katanya lagi, UMNO sentiasa konsisten dalam mempertahankan kesaksamaan dalam pentadbiran negara.
“Kami menolak sebarang usaha untuk mewujudkan pemisahan dalam kepimpinan kerajaan berdasarkan agama.
“Kami juga akan terus memperjuangkan kestabilan serta keharmonian negara yang berbilang kaum dan agama ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette