Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi sambung prosiding bela diri kes penyelewengan dana 1MDB di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 5 DISEMBER 2024. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Badan Peguam Malaysia menyatakan, pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan pada 1994 telah menghapuskan budi bicara dan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam melaksanakan kuasa pengampunan.

Menurut badan itu, pindaan tersebut memerlukan Seri Paduka `menerima dan bertindak’ selaras dengan nasihat Lembaga Pengampunan berdasarkan Perkara 40(1A) yang dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan pada 24 Jun 1994.

Sehubungan itu, badan tersebut berpendirian, Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika tidak membenarkannya mencabar keputusan Lembaga Pengampunan yang meringankan hukuman penjara dan denda terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung sabitan kes SRC International Bhd.

Badan itu berpendapat, Mahkamah Tinggi boleh menyemak keputusan Lembaga Pengampunan yang diberi kuasa berperlembagaan menasihati YDPA.

“Walaupun kuasa berperlembagaan untuk memberikan pengampunan dan penangguhan hukuman dianggap hak prerogatif diraja, pindaan perlembagaan kini memerlukan YDPA menerima dan bertindak selaras dengan nasihat Lembaga Pengampunan.

“Budi bicara peribadi dan hak prerogatif yang sebelum ini wujud telah dihapuskan oleh pindaan berkenaan dan perkembangan itu mengubah undang-undang dengan ketara.

“Walaupun pemberian pengampunan atau penangguhan hukuman sebelum ini dianggap tidak boleh diadili kerana ia hak prerogatif diraja yang tidak boleh dicabar di mahkamah, kini tidak lagi begitu,” kata badan tersebut.

Badan Peguam menyatakan demikian dalam memorandum rayuan bertarikh 23 Januari lalu bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan.

Dalam memorandum yang difailkan menerusi Tetuan Amir & Rajpal Ghai, badan tersebut berpendirian, hakim terkhilaf apabila menyatakan isu yang dibangkitkan itu tak boleh dicabar dan sudah menjadi undang-undang yang muktamad, tanpa mempertimbangkan perubahan kritikal yang dibawa oleh pindaan tersebut.

Kata badan itu, duluan keputusan mahkamah yang menetapkan pengampunan tidak boleh dicabar itu adalah berdasarkan kes yang diputuskan sebelum pindaan perlembagaan.

Dalam memorandum itu yang diperolehi pihak media hari ini, badan berkenaan menyatakan, Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid terkhilaf ketika membuat keputusan ringkas bahawa semua persoalan undang-undang baharu yang dibangkitkan, tidak boleh dihujahkan.

Kata badan itu, mahkamah turut terkhilaf apabila memutuskan tiada satu pun daripada persoalan undang-undang itu memerlukan penghujahan, perdebatan, penerokaan dan pertimbangan secara penuh dan mendalam pada peringkat pendengaran utama.

Badan Peguam selaku perayu berkata, hakim terkhilaf membuat keputusan berkenaan kerana persoalan undang-undang yang baharu itu membabitkan pindaan penting yang dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan.

Tegasnya, tiada duluan atau otoriti (nas perundangan) yang ditemui di mana persoalan terbabit telah dibangkitkan oleh mana-mana pihak sebelum ini, mahupun telah dibincangkan, dipertimbangkan, atau diputuskan oleh mana-mana mahkamah.

Oleh yang demikian, badan tersebut menyatakan, hakim berkenaan terkhilaf dengan menolak secara ringkas hujahannya bahawa Perkara 40(1A) telah mengubah undang-undang dengan ketara.

Pada November 2024, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman selepas mendapati perkara yang dipohon tidak boleh diputuskan melalui prinsip undang-undang atau oleh mahkamah.

Dalam keputusannya, Hakim Ahmad Kamal berkata, mahkamah berpendapat nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan adalah sebahagian daripada proses yang membawa kepada pemberian pengampunan oleh YDPA, justeru ia bukan perkara yang sesuai dan wajar untuk disemak di hadapan mahkamah.

Katanya, budi bicara pengampunan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah pelaksanaan langsung budi bicara mutlak YDPA, bukannya Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan atau kuasa yang diwakilkan kepadanya.

Pada 26 April lalu, Badan Peguam memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman berkenaan dengan menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta Najib sebagai responden.

Ia memohon perisytiharan bahawa keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024 berhubung permohonan Najib untuk mengurangkan separuh daripada hukuman penjaranya, yang menyaksikan beliau dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028, adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan batal.

Pada 2 Februari 2024, Urusetia Lembaga Pengampunan mengumumkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya dengan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Bodoh punya Badan Peguam..maknanya ko nak nak kata Lembaga Pengampunan tu lebih tinggi daripada DYMM Agong? Lebih berkuasa daripada Agong??? Agong kena jd Pak Turut kpd Lembaga Pengampunan? Terang2 Badan Peguam hina DYMM sbg rubber stamp kpd Lembaga Pengampunan…Kenapa kerajaan Malaysia benarkan Badan Peguam sial tak profesional dan penuh dgn dendam politik wujud di negara ni? Memalukan sungguh…Dan UMNO masih bersama2 kerajaan yg membenarkan Badan Peguam yg menghina DYMM Agong beroperasi di Malaysia?? Tolong haramkan badan peguam yg tak profesional ni..ganti dgn institusi guaman yg lain yg profesional…rakyat dah muak dgn Bar Council bangang ni..kuat berpolitik…

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here