KUALA LUMPUR – Malaysia komited melaksanakan pelbagai langkah strategik untuk mencapai sasaran net zero menjelang 2050, sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju tenaga mampan di ASEAN.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan bahawa keselamatan dan kelestarian tenaga menjadi keutamaan dalam memastikan peralihan tenaga yang lancar serta mengurangkan pelepasan karbon secara berperingkat.
“Kami memberi tumpuan kepada isu keselamatan tenaga yang sangat penting, dan juga kepada isu kelestarian tenaga.
“Malaysia juga telah menyatakan komitmen untuk tidak membina loji janakuasa tenaga baharu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan ASEAN Youth Economic Forum 2025, di sini, hari ini.
Nik Nazmi turut memberitahu bahawa Malaysia kini dalam usaha untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga suria serta memperkembangkan teknologi bateri bagi memastikan bekalan tenaga yang stabil dan mesra alam.
“Kerajaan juga sedang mengkaji potensi tenaga nuklear sebagai sumber tenaga jangka panjang yang lebih bersih.
“Namun, dalam peralihan ke arah tenaga hijau, terdapat jurang yang perlu diisi dengan sumber tenaga sementara.
“Oleh itu, gas dapat dijadikan bahan api peralihan untuk memastikan keperluan tenaga negara terus dipenuhi tanpa menjejaskan usaha dekarbonisasi,” tambahnya.
Dengan mempelbagaikan sumber tenaga, beliau yakin bahawa negara dapat mencapai sifar karbon menjelang 2050 dengan membangunkan asas tenaga yang lestari dan berdaya saing.
Ini bukan sahaja akan mengurangkan jejak karbon Malaysia tetapi juga menjadikannya model dalam peralihan tenaga bersih di ASEAN, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara dalam agenda tenaga mampan global. – MalaysiaGazette