Kanak-kanak Palestin mengutip makanan bantuan di kem pelarian Bureij di tengah Semenanjung Gaza, pada 6 November 2024, di tengah-tengah konflik berterusan di wilayah Palestin antara Israel dan Hamas, foto AFP

Gaza, sebuah wilayah yang sekian lama berdepan dengan penindasan dan kemusnahan, sekali lagi menjadi saksi kepada tragedi kemanusiaan yang mengerikan.

Dalam bayangan peperangan yang tidak berkesudahan, angka-angka berikut mendedahkan skala sebenar penderitaan di Gaza—lebih 47,000 rakyat Palestin terkorban, 1.9 juta kehilangan tempat tinggal, dan 85,000 tan bahan letupan digugurkan.

Angka ini bukan sekadar statistik. Bahkan, angka ini merupakan cerminan kisah manusia yang kehilangan keluarga, rumah, dan harapan. Data yang ditentusahkan oleh pelbagai organisasi antarabangsa ini menggariskan bukan hanya kehancuran akibat peperangan, tetapi juga satu bentuk pemusnahan bangsa secara sistematik—atau “genocide”—serta impak ekonomi yang menjadikan Gaza sebagai wilayah yang begitu sukar untuk dipulihkan.

Implikasi ekonomi kehilangan manusia

Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA), lebih 47,000 rakyat Palestin telah terbunuh—di mana sebahagian besarnya merupakan orang awam—termasuklah puluhan ribu wanita dan kanak-kanak. Kehilangan ini bukan sahaja merobek fabrik sosial tetapi turut melumpuhkan struktur ekonomi Gaza.

Menurut satu kajian dalam jurnal perubatan terkemuka The Lancet, kematian tidak langsung akibat konflik—seperti gangguan perkhidmatan kesihatan, kekurangan makanan, dan kemusnahan infrastruktur—mampu mencecah 3 hingga 15 kali ganda jumlah kematian langsung.

Berdasarkan anggaran konservatif sebanyak 3 kematian tidak langsung bagi setiap kematian langsung, 47,000 kematian yang dilaporkan ini boleh menatijahkan 141,000 kematian tambahan akibat konflik.

Sebagai perbandingan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), populasi Putrajaya pada tahun 2024 ialah seramai 120,300 orang. Bayangkan keseluruhan Putrajaya lenyap dalam tempoh hanya 15 bulan—perbandingan yang menggambarkan betapa dahsyatnya skala kemusnahan di Gaza.

Dari sudut ekonomi, kehilangan setiap individu yang terkorban mengakibatkan kesan mendalam kepada sektor penting seperti pendidikan, kesihatan, dan pembinaan, sekaligus merencatkan sebarang usaha pemulihan.

Kos ketersingkiran besar-besaran

Skala ketersingkiran di Gaza adalah sesuatu luar biasa. Menurut Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), hampir 90% daripada populasi Gaza—bersamaan dengan 1.9 juta orang—telah kehilangan kediaman mereka.

Untuk konteks, jumlah ini menyamai keseluruhan populasi negeri Kelantan. Bayangkan setiap seorang daripada rakyat Kelantan di 11 jajahan terpaksa meninggalkan rumah mereka, menjadi pelarian di tanah sendiri, dan terputus daripada punca pendapatan serta keperluan asas mereka. Kesan ini tidak sekadar memusnahkan struktur kehidupan, tetapi juga merenggut rasa aman dan masa depan mereka.

Menurut Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), kos untuk menyara keluarga yang disingkirkan adalah amat tinggi. Sebagai contoh, pemberian bantuan makanan sahaja dianggarkan menelan belanja USD 50 juta (RM 234 juta) sebulan.

Kanak-kanak khususnya adalah antara golongan rentan yang paling terkesan. Mereka bukan sahaja kehilangan peluang pendidikan, tetapi juga berhadapan dengan trauma yang akan memberi kesan kepada kesejahteraan mental dan pembangunan intelektual mereka.

Berbeza dengan zon konflik lain, penduduk Gaza tidak mempunyai laluan selamat untuk melarikan diri ke negara jiran akibat sekatan berterusan yang diklasifikasikan oleh Amnesty International sebagai “hukuman kolektif”— tindakan menghukum seluruh populasi atas perbuatan yang didakwa dilakukan oleh segelintir individu—suatu tindakan yang bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, tetapi juga prinsip asas hak asasi manusia.

Sekatan ini telah mencipta aral ekonomi yang menyekat perdagangan, bantuan kemanusiaan, dan bekalan bahan binaan daripada memasuki Gaza. Tanpa akses kepada laluan selamat, keluarga yang disingkirkan tidak mempunyai pilihan selain bertahan dalam keadaan yang saban buruk setiap hari.

Harga sebuah pembinaan semula

Menurut B’Tselem, sebuah organisasi hak asasi manusia Israel, sejak Oktober 2023, lebih 85,000 tan bahan letupan telah digugurkan di Gaza. Jumlah ini adalah 21% lebih tinggi daripada 70,000 tan bom yang dijatuhkan oleh Tentera Bersekutu dalam kempen Pasifik Perang Dunia Kedua—salah satu konflik paling dahsyat dalam sejarah moden.

Kesan daripada serangan udara yang dahsyat ini tidak hanya terbatas kepada kehilangan nyawa, tetapi juga mengakibatkan kemusnahan besar-besaran terhadap infrastruktur Gaza. UNOCHA melaporkan bahawa lebih dua pertiga atau 66% daripada infrastruktur Gaza, termasuk rumah, sekolah, hospital, dan kemudahan air telah rosak atau musnah sama sekali. Menurut UNRWA, pembinaan semula aset-aset penting ini dianggarkan menelan belanja melebihi USD 50 bilion (RM 234 bilion).

Angka-angka ini bukan sekadar statistik. Malahan, angka-angka ini mengisahkan perihal kehilangan, kesengsaraan, dan ketidakadilan yang sedang berlaku. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres, telah berulang kali menggesa penamatan sekatan ke atas Gaza untuk membolehkan bantuan kemanusiaan dan bahan binaan disalurkan ke wilayah tersebut.

Selain itu, Presiden Bank Dunia, Ajay Banga, menekankan bahawa pemulihan jangka panjang memerlukan sumber daripada sektor awam dan swasta serta penglibatan antarabangsa untuk menghidupkan kembali ekonomi Gaza.

Justeru, komuniti global harus bersatu untuk menyalurkan bantuan segera, menuntut kebertanggungjawaban atas kekejaman yang dilakukan, dan mendesak Israel melalui tekanan diplomatik, ekonomi, dan undang-undang antarabangsa untuk mengembalikan autonomi kepada rakyat Gaza, agar mereka dapat membina semula kehidupan dan masa depan mereka dengan bermaruah.

Manakala pada peringkat individu kita boleh bermula dengan menyebarkan maklumat yang sahih dan berkongsi kisah-kisah sebenar untuk meningkatkan kesedaran serta memerangi penyebaran maklumat palsu. Selain itu, kita boleh menyokong organisasi kemanusiaan yang berwibawa yang sedang berusaha tanpa henti di lapangan untuk memberikan bantuan segera dan membantu membina semula kehidupan mereka yang terjejas. Tindakan kecil di peringkat individu ini boleh menyumbang kepada perubahan besar.

Jangan biarkan krisis ini menjadi satu lagi bab gelap dalam sejarah kemanusiaan. Masa untuk bertindak adalah sekarang.

Oleh,

Dr Mohd Zaidi Md Zabri

Pengarah Interim di Pusat Kecemerlangan Kajian dan Inovasi Ekonomi Islam (i-RISE), ISRA Institute, INCEIF University.

-MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here