KUALA LUMPUR – Arab Saudi mengumumkan alkohol tidak dibenarkan di Piala Dunia FIFA 2034.
Bukan sahaja di stadium, larangan itu juga melibatkan hotel dan tempat lain di seluruh negara dan hanya minuman ringan dibenarkan di stadium.
Mereka yang didapati menyeludup minuman keras akan dirotan di khalayak ramai.
Duta Arab Saudi ke United Kingdom (UK), Putera Khalid bin Bandar Al Saud menegaskan, negara itu sama sekali tidak akan melonggarkan undang-undang Islamnya.
Beliau berkata, penyokong yang mengunjungi kejohanan itu perlu menghormati adat resam negara tuan rumah, di mana pengambilan alkohol adalah dilarang sama sekali.
“Setiap orang mempunyai budaya masing-masing dan kami gembira untuk menerima orang dalam batasan budaya kami tetapi kami tidak mahu menukar budaya kami untuk orang lain,” katanya kepada laman berita UK, LBC.
Pada edisi 2022 di Qatar, penyokong dibenarkan untuk meminum alkohol di hotel yang mendapat lesen bagi penjualan minuman keras.
Putera Khalid turut menyindir dengan mengatakan tidak akan ada sebarang alkohol kerana cuaca negara itu kering.
“Banyak keseronokan boleh didapati tanpa alkohol dan tidak 100 peratus perlu dan jika anda mahu minum anda boleh berbuat demikian selepas keluar tetapi buat masa ini kami tidak mempunyai alkohol,” katanya. – Agensi