KUANTAN – Polis telah mengenalpasti suspek yang terbabit dalam kes kematian seorang peniaga wanita yang ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, di sini semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan suspek lelaki berusia 37 tahun itu.
“Hasil siasatan mendapati mangsa yang berniaga makanan secara dalam talian telah dihubungi suspek untuk membuat tempahan makanan.
“Menerusi perbualan, suspek telah meminta mangsa untuk bertemu di lokasi kejadian untuk penghantaran makanan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang dan Serah Terima Tugas Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.
Menurut Yahaya, suspek yang dikenalpasti tinggal di sekitar daerah ini turut mempunyai rekod jenayah lampau.
Beliau berkata, terdapat beberapa barangan berharga yang didapati hilang daripada mangsa termasuk barang kemas miliknya.
Bagaimanapun, katanya polis masih menunggu hasil bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian ibu kepada seorang anak itu dan motif kejadian tersebut masih dalam siasatan. – Malaysiagazette
ARTIKEL BERKAITAN