GEORGE TOWN – Seorang anggota polis berpangkat sarjan direman enam hari bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta rasuah RM3,000 sebagai balasan menyelesaikan kes seorang lelaki yang positif dadah.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Siti Nur Suhaila Baharin bermula hari ini terhadap lelaki berusia 38 tahun itu selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Mahkamah Majistret Jenayah 1 di sini.
Tempoh reman sehingga Rabu depan itu dibenarkan bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat SPRM mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Terdahulu suspek tiba di mahkamah pada pukul 9.05 pagi dengan berpakaian lokap SPRM.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/e0db62cf-bd58-477b-8cc3-d8c3d367ca70-1024x611.jpeg)
Sementara itu, sumber berkata, lelaki yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM di sini semalam.
“Suspek disyaki meminta wang rasuah RM3,000 daripada seorang lelaki berumur 35 tahun bagi menyelesaikan kes positif ujian air kencing.
“Berdasarkan siasatan lelaki tersebut ditahan pihak polis pada 19 Ogos 2024 susulan positif dadah sebelum suspek mengarahkan dia hadir ke IPD pada Januari lalu dan meminta rasuah sebagai balasan untuk menyelesaikan kes.
“Susulan itu, pada 12 Februari lalu suspek sekali lagi menghubungi lelaki bagi tujuan sama sebelum kita menahannya semalam (Khamis) bagi siasatan lanjut,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut. – MalaysiaGazette