KUALA LUMPUR – Sekolah Antarabangsa Idrissi (Idrissi) yang juga sekolah antarabangsa eko-Islamik pertama di negara ini merancang untuk membuka cawangan sekolah ketiganya di Bukit Jelutong.
Ia mula beroperasi pada September tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif GAINS Education Group iaitu syarikat induk Sekolah Antarabangsa Idrissi, Julie Wong berkata, cawangan itu bakal memuatkan kira-kira 1,000 pelajar dengan menyediakan persekitaran pembelajaran mesra dan pendidikan holistik berteraskan nilai kepada lebih banyak keluarga.
Menurutnya, ia turut memiliki keluasan lebih besar dengan dilengkapi pelbagai kemudahan terbaharu seperti perpustakaan termasuk perpustakaan di kawasan luar, kawasan rekreasi dan sukan yang lebih besar dan pelbagai lagi seiring konsep alam sekitar yang diterapkan dalam sekolah ini.
“Syarikat juga dalam perancangan terkini yang merangkumi memperkenalkan Sekolah Antarabangsa Tahfiz Idrissi yang akan menggabungkan pendidikan antarabangsa dan Islamik dilengkapi dengan asrama khas.
“Kami turut mempunyai perancangan membuka cawangan baru di Cyberjaya dan Kuala Lumpur dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/pix-idrissi-2048x1152-1.jpeg)
Idrissi yang bermula tahun 2015 kini memiliki lebih daripada 700 pelajar dan ia turut beroperasi melalui dua cawangan di Setia Alam dan juga di Johor Bahru.
Majoriti murid di Setia Alam terdiri daripada pelajar tempatan tetapi di Johor Bahru sebanyak 60 peratus daripada muridnya terdiri daripada anak ekspatriat dan juga warga negara Singapura yang mana sekolah tersebut menyediakan asrama untuk kumpulan murid berkenaan.
Idrissi menawarkan sistem pembelajaran unik terdiri daripada kurikulum antarabangsa Cambridge, kurikulum Islam yang disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Kurikulum Reka Bentuk dan Teknologi moden yang direka khas untuk menggalakkan kreativiti pelajar.
Sementara itu, Julie Wong berkata, Idrissi bakal memperuntukkan antara RM20 juta hingga 30 juta dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang bagi pelan pembangunannya pada masa depan.
“Jumlah pelaburan tersebut akan digunapakai untuk projek menambah baik keperluan sekolah antarabangsa swasta yang menawarkan rangkaian prasekolah, sekolah rendah dan juga sekolah menengah secara berfasa,” katanya. – MalaysiaGazette