Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini hari ini mengenakan denda RM2,000 terhadap seorang buruh kerana menyembunyikan pesalah dalam insiden tular langgar lari melibatkan dua kenderaan di depan sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, baru-baru ini.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menjatuhkan hukuman itu selepas S. Teenesh mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Buruh ladang kelapa sawit itu turut diperintah menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Menurut pertuduhan, Teenesh, 40, didakwa melindungi seseorang yang diketahui adalah pesalah dalam kes cubaan mematikan orang bagi mengelak daripada hukuman dan undang-undang.

Dia mengaku melakukan perbuatan itu di sebuah rumah kongsi ladang kelapa sawit Kampung Chennah di Jelebu, Negeri Sembilan, pada 6.20 petang, 7 Februari lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Menurut fakta kes, pada 29 Januari lalu, seorang lelaki berumur 24 tahun yang merupakan pengurus pusat hiburan terbabit melihat dua kenderaan yang keluar dari bangunan tempat letak kereta, dipandu secara melulu di hadapan kelab itu.

Dua kenderaan itu secara tiba-tiba melanggar sekumpulan individu yang berada di hadapan kelab sehingga menyebabkan dua lelaki dan seorang wanita cedera.

Fakta turut menyatakan, seorang wanita yang tinggal di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, terjaga dari tidur kerana mendengar bunyi bising sebelum melihat melalui tingkap dan ternampak sekumpulan lelaki sedang bergaduh.

Wanita itu kemudian mengambil telefon bimbitnya lalu merakam kejadian tersebut sebelum video rakaman itu tular di media sosial.

Pada prosiding itu, Farah Nabihah meminta kepastian Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa bagaimana tertuduh melindungi pesalah itu.

Amritpreet berkata tertuduh menyembunyikan pesalah dalam kes berkenaan di dalam rumah kongsi.

Terdahulu, Amritpreet memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh manakala peguam Mohamad Zaidi Othman mewakili tertuduh memohon hukuman berbentuk denda atas alasan anak guamnya menanggung isteri serta dua anak yang masih bersekolah.

“Tertuduh juga menyesal atas tindakannya dan berjanji tidak akan mengulanginya. Selain itu, tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan,” kata peguam itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here