IPOH – Seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera selepas kereta yang dinaiki terbabas sebelum melanggar pokok di Jalan Sungai Siput di Kawasan Perindustrian Kanthan, dekat sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan dua mangsa warga emas itu pada jam 12.01 tengah hari.
Menurutnya, sejurus selepas itu sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba di lokasi mendapati mangsa lelaki berusia 74 tahun tersepit, sementara seorang mangsa wanita berusia 65 tahun meninggal dunia.
“Kedua-dua mangsa berjaya dibawa keluar daripada bangkai kereta jenis Nissan Sentra itu dengan menggunakan peralatan kuasa hidraulik,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Sabarodzi berkata, mangsa lelaki yang cedera diserahkan kepada pasukan perubatan, sementara wanita maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) Mohammad Norshazwan Mohd Puzi itu tamat pada jam 1.34 tengah hari. – MalaysiaGazette