Pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Lee Boon Shian.

KUALA LUMPUR – Pemuda Gerakan menggesa supaya Kementerian Perpaduan dibubarkan selepas disifatkan gagal berfungsi dengan baik dalam mempromosi dan menangani isu-isu melibatkan perpaduan antara kaum.

Pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Lee Boon Shian berkata, tugas merealisasikan konsep perpaduan sepatutnya dipimpin oleh Perdana Menteri serta keseluruhan barisan Kabinet dan ahli Parlimen untuk dilaksanakan dan direalisasikan.

Dalam masa sama, ujar beliau, kerajaan ketika ini juga sudah mempunyai Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang menganjurkan pelbagai program kebudayaan dan kemajmukan kaum sekali gus tidak lagi memerlukan sebuah kementerian berasingan.

“Usaha memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat sepatutnya menjadi tugas Perdana Menteri serta wakil rakyat daripada semua kaum.

“Sebaliknya ramai yang memilih untuk mengelak daripada membincangkan isu ini, sama ada kerana kepentingan politik atau ingin menjaga kedudukan masing-masing.

“Kini, manipulasi isu kaum dan agama semakin menjadi alat politik untuk meraih undi dan populariti,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Tambah Boon Shian, pembubaran Kementerian Perpaduan juga bakal memberi penjimatan besar kepada kerajaan yang boleh disalurkan kepada sektor yang benar-benar memberi manfaat kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat seperti pendidikan dan kesihatan.

Sebagai contoh, ujar beliau, sumber itu boleh diberikan kepada Kementerian Pendidikan untuk digunakan bagi mengadakan kursus dan program yang memupuk kefahaman antara kaum di peringkat sekolah rendah hingga universiti termasuk kepada ibu bapa.

Selain itu, tambahnya, penjimatan tersebut juga boleh digunakan kerajaan untuk meningkatkan peruntukan kepada hospital awam untuk memastikan lebih ramai rakyat dapat menerima rawatan, terutama mereka yang tidak mampu menanggung kos perubatan yang tinggi.

“Pendekatan ini lebih berkesan daripada sekadar kempen yang bersifat kosmetik,” tegas beliau.

Sementara itu, Boon Shian berkata, rakyat kini sangat bersyukur kerana dalam usaha menyatukan rakyat dan mempromosikan keharmonian budaya, institusi diraja sering menunjukkan teladan yang lebih baik berbanding pemimpin politik.

Dengan tindakan institusi diraja itu, ujar beliau, pelbagai isu sensitif berkaitan kaum dan agama dapat diredakan sekali gus membolehkan rakyat hidup dengan lebih aman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here