KUANTAN – Acara Kuantan 188 Base Jump Extreme Challenge akan dijadikan acara tahunan bertaraf antarabangsa, kata Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri Pahang, Leong Yu Man.
Beliau berkata, acara itu berpotensi besar menjadi salah satu tarikan peminat sukan itu dari dalam dan luar negara ke daerah ini, sekali gus memberi impak kepada industri pelancongan negeri.
“Acara ini bukan sekadar memberikan cabaran ekstrem kepada penerjun, malah ia turut mempromosikan menara Kuantan 188, sebagai destinasi pelancongan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan acara itu di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam acara pada kali ini, penerjun BASE terkenal, Justin Beitler dari Las Vegas, Amerika Syarikat turut membuat percubaan Guinness World Record mencipta rekod baharu dengan melakukan jumlah terjunan BASE terbanyak dalam tempoh 24 jam menggunakan payung terjun yang sama.
Terjunan pertama bagi tujuan tersebut dilakukan Beitler sekitar jam 10 pagi tadi sempena perasmian program tersebut.
Acara kali ini turut menghimpunkan 36 penerjun BASE elit dari 13 negara, termasuk Malaysia, Finland, Indonesia, Filipina, Rusia, Singapura, Sweden, Thailand, United Kingdom, Amerika Syarikat, India, dan Perancis. – MalaysiaGazette