KUALA LUMPUR – Sektor marin terutama bagi teknologi Kenderaan Kawalan Jarak Jauh (ROV) dasar laut dijangka terus berkembang dengan perkongsian strategik syarikat tempatan, Ezed Energy Sdn Bhd (EESB) bersama syarikat peneraju robotik terulung dari Türkiye, Hoytek.
Ia sempena Forum Perniagaan Malaysia-Türkiye yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya baru-baru ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif EESB, Mohd Tarmizi Yahaya, kerjasama itu dijangka melibatkan perkongsian teknologi ROV yang lebih lestari yang mampu menjadikan Malaysia sebagai pengeluar ROV tempatan bagi pasaran Asia pada masa hadapan.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan Hoytek yang pendekatan inovatifnya melengkapi misi kami untuk menyediakan penyelesaian lestari. Bersama-sama, kami berhasrat untuk menetapkan standard industri baharu dari segi kecekapan dan keselamatan dalam operasi bawah air selain membangunkan bakat tempatan Malaysia dalam bidang ini,” katanya dalam kenyataan.
Fasa pertama kerjasama bermula dengan pengeluaran ROV Kelas Kerja untuk ditawarkan kepada pelbagai pelanggan marin dan tenaga di seluruh dunia dengan sasaran penjanaan nilai sebanyak USD65 juta (RM300 juta).
Selain ROV, kerjasama itu juga akan memanfaatkan teknologi robotik terkini Hoytek serta kepakaran luas Ezed Energy dalam aplikasi tenaga.
“Kenderaan ini direka untuk meningkatkan kecekapan operasi dan keselamatan merentasi pelbagai sektor termasuk marin, keselamatan dan keselamatan merentasi pelbagai sektor termasuk marin, keselamatan dan pertahanan,” katanya.
Pengerusi EESB, Ferol Zamhuri Mamat pula berkata,
inisiatif itu mungkin melibatkan kerjasama yang lebih luas di masa depan dengan beberapa institut tempatan Malaysia yang dikenal pasti selaras dengan usaha Kerajaan Malaysia mempromosikan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pada 11 Februari lalu, EESB dan Hoytek menandangantangani perjanjian perkongsian strategik bersempena lawatan rasmi Presiden Türkiye, TYT Recep Tayyip Erdogan, Ezed disambut Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette