KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggunakan Sistem Pengawasan Laut (Swasla) dan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam memastikan keselamatan perairan negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, Maritim Malaysia kini dalam fasa memperluaskan sistem Swasla ke Sarawak dan Pantai Timur Semenanjung bagi membolehkan pemantauan secara real-time dengan keupayaan definisi tinggi.
“Langkah ini membolehkan kami mengenal pasti pergerakan kapal dan aktiviti mencurigakan dengan lebih pantas dan berkesan, sekali gus mengurangkan risiko jenayah maritim seperti penyeludupan dan pencerobohan perairan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Rosli berkata demikian bagi mengulas sumbangan dan kejayaan Maritim Malaysia sepanjang dua dekad menjaga perairan negara daripada ancaman jenayah maritim.
Tambah beliau, teknologi dron dan Unmanned Aerial Vehicles (UAV) kini mula digunakan bagi operasi jarak jauh serta misi mencari dan menyelamat (carilamat).
“Penggunaan UAV membolehkan rondaan dilakukan di kawasan yang sukar diakses oleh aset laut, memberikan fleksibiliti yang lebih tinggi dalam pemantauan dan operasi menyelamat,” katanya.
Selain itu, Maritim Malaysia juga menerapkan AI dalam operasi pemantauan, menjadikannya antara empat agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menggunakan teknologi tersebut.
“AI berperanan dalam menganalisis data pemantauan secara automatik, mengenal pasti corak pergerakan kapal serta mengesan potensi ancaman dengan lebih cepat dan tepat,” jelasnya.
Menurut beliau, kombinasi Swasla, UAV dan AI membolehkan Maritim Malaysia meningkatkan kecekapan dalam menangani jenayah maritim serta memperkukuh kawalan sempadan perairan negara.
“Dengan adanya teknologi ini, Maritim Malaysia dapat mempercepatkan tindakan terhadap sebarang insiden di laut, mengurangkan masa respons serta memastikan keselamatan perairan terjaga sepanjang masa,” katanya.
Dalam tempoh dua dekad, tambah beliau, Maritim Malaysia telah mencatatkan kejayaan besar dalam membanteras jenayah maritim dan memastikan perairan negara selamat daripada ancaman luar.
“Kami akan terus memperkukuh usaha ini melalui pemodenan aset dan penggunaan teknologi canggih agar Maritim Malaysia sentiasa selangkah di hadapan dalam menjaga kedaulatan perairan negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette