Penasihat Undang-Undang dan aktivitis Mind Pro Management, Ena Awil (duduk, kanan sekali) bersama mangsa penipuan umrah ketika sidang media di Putrajaya hari ini

KUALA LUMPUR – “Ini jelas satu penipuan!”

Itu luahan peguam mewakili jemaah umrah, Ena Awil berhubung dakwaan kes penipuan umrah syarikat Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd.

Beliau yang merupakan Penasihat Undang-Undang dan aktivitis Mind Pro Management berkata, rata-rata jemaah masih belum menerima sebarang maklum balas atau bayaran sehingga kini meskipun syarikat berkenaan sudah lama memberi pelbagai janji manis untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Dari bulan Januari hingga ke hari ini, jumlah kerugian para jemaah dianggarkan mencecah RM6 juta dan ini belum lagi masuk ke bulan-bulan seterusnya.

“Saya sendiri telah hadir ke rumah pemilik syarikat untuk mendapatkan kepastian namun mereka masih berdiam diri. Kami hanya mahu satu penyelesaian yang adil kepada jemaah yang menjadi mangsa,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Ena turut menyuarakan rasa tidak puas hati selepas mendapati siasatan terhadap kes berkenaan diklasifikasi sebagai Rujuk Kepada Agensi Lain atau ‘Refer to Other Agency’ (ROA) tanpa tindakan lanjut.

Katanya, tindakan berkenaan adalah tidak wajar memandangkan elemen penipuan jelas berlaku dan seharusnya disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan serta denda bagi kesalahan menipu dan memperdaya.

“Sehubungan itu, saya mendesak pihak berkuasa untuk membuka semula siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit mengikut Seksyen 420,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili mangsa penipuan, Siti Raudah Mohd Rais berkata, setakat ini,  jumlah jemaah yang terkesan akibat kegagalan syarikat umrah itu  telah mencecah lebih 600 orang dan dijangka terus meningkat.

“Sekiranya kes masih di status yang sama, pihak kami akan menghantar memorandum ke Pejabat Peguam Negara bagi membolehkan kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here