Timbalan Presiden Parti Warisan, Datuk Darell Leiking.

KUALA LUMPUR – Parti Warisan menafikan wujud sebarang kerjasama atau persefahaman politik antara parti itu dengan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 (PRN-17).

Timbalan presidennya, Datuk Darell Leiking berkata, Parti Warisan ketika ini juga tidak mengadakan sebarang persefahaman dengan mana-mana parti politik lain menjelang PRN-17.

Ujar beliau, perkara itu serta cadangan supaya Parti Warisan mengadakan kerjasama politik dengan parti-parti politik tertentu tidak pernah dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi Warisan mahupun Biro Politik Warisan untuk dibincangkan.

“Oleh yang demikian, hantaran (di media sosial Facebook) tersebut tidak lebih daripada andaian dan spekulasi yang selalunya kita akan nampak menjelang pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Darell yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog mengulas mengenai laporan yang tular di media sosial kononnya Parti Warisan telah bersetuju untuk mengadakan persefahaman pilihan raya dengan BN Sabah bagi berdepan PRN-17 yang dijangka diadakan hujung tahun ini.

Malah, laporan itu turut mendakwa Parti Warisan dan BN Sabah berkemungkinan tidak akan bertembung sesama sendiri di 50 daripada 73 kerusi DUN Sabah pada PRN-17.

Mengulas lanjut, Darell berpendapat, berdasarkan perkembangan politik semasa, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkemungkinan besar mengharapkan kerjasama dengan BN Sabah.

Ujarnya, ia dapat dilihat ketika Persidangan Agung Tahunan PBS ke-39 pada 29 Oktober 2024 di KDCA yang mana Hajiji sendiri menyatakan GRS terbuka berbincang kerjasama dengan BN Sabah.

“Merujuk kepada kesediaan Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk terus bersama dengan GRS, maka kita tidak perlu hairan mengapa Hajiji mahu BN Sabah bekerjasama dengan gabungan tersebut.

“Ini semua hanyalah untuk memastikan GRS terus memerintah negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here