KANGAR – Dua warga emas maut manakala dua lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki dirempuh sebuah kereta lain di persimpangan jalan di hadapan Klinik Kesihatan Padang Besar, kira-kira 34 kilometer dari sini, malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 9.20 malam itu, pemandu kereta jenis Nissan Sentra, seorang peniaga, Eio Siw Kong @ Yeoh Seow Khoon, 75, dan penumpang wanita Ong Phu Siew, 74, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd Shokri Abdullah berkata, seorang lagi penumpang wanita kereta Nissan Sentra itu cedera parah dan menerima rawatan di HTF, manakala seorang penumpang lelaki hanya mengalami kecederaan ringan serta mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.
Beliau berkata, pemandu kereta jenis Proton Waja, yang merupakan pekerja sebuah kedai makan berusia 30 tahun, turut menerima rawatan di Zon Hijau hospital berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku ketika kereta Nissan Sentra berkenaan sedang membelok ke kanan dari arah simpang tiga berhadapan klinik kesihatan tersebut.
“Sebuah kereta Proton Waja yang dipandu lelaki berusia 30 tahun dari arah Padang Besar dipercayai gagal mengelak lalu melanggar bahagian kanan kereta Nissan Sentra tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, dua warga emas berkenaan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian pinggul serta patah tulang rusuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shokri berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu tampil memberikan kerjasama kepada polis. – Bernama