Anthony Loke dan Nga Kor Ming. - Foto Arkib MG

KUALA LUMPUR – Perkongsian Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Rabu, iaitu Chap Goh Mei, mencuri perhatian.

Dalam perkongsian melalui Facebook, kelihatan Kor Ming dan Setiausaha Agung DAP, Anthony bergambar bersama dan menyatakan kesediaan untuk berganding bahu.

Di Seberang Perai pula, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng seakan-akan menggambarkan diri sebagai pemimpin yang berjasa dan berkaliber.

Penganalisis politik, Tay Tian Yan berkata, tindakan ketiga-tiga pemimpin penting DAP itu mempunyai kaitan dengan pemilihan parti yang akan diadakan pada Mac.

Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sinchew Daily itu berkata, terdapat tiga kem dalam DAP iaitu yang diketuai oleh Anthony, Kor Ming dan juga Keluarga Lim (Lim Kit Siang, Lim Hui Ying dan Lim Guan Eng).

Katanya, gandingan antara Kem Anthony dan Kem Nga mampu menghalang Guan Eng untuk mempertahankan jawatan pengerusi.

Menurutnya, walaupun Kem Lim mempunyai pengaruh yang sangat kuat pada satu ketika, terutamanya di Pulau Pinang, tetapi generasi muda parti mempunyai pandangan berbeza.

“Pemimpin muda DAP tidak dapat menerima Guan Eng sebagai pengerusi parti dan berpendapat Guan Eng tidak sesuai dengan gaya DAP dalam era baharu.

“Apatah lagi masyarakat Melayu mempunyai persepsi kurang baik mengenai Guan Eng menyebabkan beliau mudah menjadi sasaran kebencian dan serangan. Ini menyukarkan DAP mendapat sokongan kaum Melayu,” katanya dalam rencana analisis.

Menurut Tian Yan, sekumpulan pemimpin DAP yang dibentuk tujuh orang pernah menyampaikan nasihat kepada Guan Eng supaya beliau tidak menjadi pengerusi parti, tetapi pandangan mereka ditolak.

Katanya, keadaan itu menyebabkan parti akhirnya menerima Guan Eng sebagai pengerusi dalam pemilihan sebelum ini manakala Anthony sebagai setiausaha agung untuk mengelakkan perpecahan yang serius.

“Reputasi Anthony kini semakin meningkat dan berjaya mengukuhkan pengaruh,malahan menarik sokongan daripada kem lain.

“Melalui kerjasama dengan kem Nga, Anthony tidak lagi perlu tunduk kepada Kem Lim,” katanya.

Menurutnya, Anthony selama ini tidak mengacau atau mencabar Kem Lim, sehinggalah Guan Eng melakukan serangan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Katanya, campur tangan Anthony dan sokongan yang diberikannya kepada Kon Yeow berjaya mengelakkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu digantikan.

Ujarnya, Guan Eng  bagaimanapun tidak berputus asa, tetapi tekun berjumpa perwakilan negeri dan mengkritik Kerajaan Perpaduan untuk membina reputasi menjelang pemilihan Mac.

“Walaupun berusaha bersungguh-sungguh, tetapi Kem Lim adalah lemah dalam tiga kem utama yang ada dan tidak mampu menongkah arus, melainkan mendapat sokongan Kem Anthony dan Kem Nga.

“Adakah Kem Anthony dan Kem Nga sanggup membantu? Nampaknya tidak, kerana tindakan Guan Eng terhadap Kon Yeow adalah lebih kejam daripada yang dilakukan pembangkang.

“Jika Guan Eng terus menjadi pengerusi parti, ia bagaikan menyimpan seekor harimau dalam rumah,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here