JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung kemungkinan berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut pada hujung tahun ini sebagai satu gimik politik.
Naib Pengerusi Keadilan Negeri Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, PRU mengejut itu tidak akan berlaku malah rakan sekutu Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas sendiri tidak ‘melayannya’.
“Sumber dalaman Pas mendakwa mereka tidak bermesyuarat mengenai gimik ini, tidak senada dan tidak beria-ia. Barangkali Pas sudah mulai terasa hati dengan sikap ‘abang besar PN’ yang ditonjolkan oleh Bersatu selama ini.
“Semuanya yang melibatkan PN – baik jawatan, baik keputusan, Bersatu nak ketuai dan kuasai,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, keadaan mereka sekarang juga boleh dijadikan sebagai satu indikator hubungan Bersatu-Pas tidak lagi kukuh dan sudah tiada persefahaman yang baik.
Kemungkinan besar apabila sampai masa untuk tentukan calon Perdana Menteri katanya, mereka juga akan bergaduh.
“Sebenarnya gimik ‘pilihan raya mengejut’ sengaja diwujudkan Bersatu hanya semata-mata untuk beri harapan palsu kepada penyokong mereka supaya PN dilihat kekal relevan sebagai sebuah kerajaan menanti dalam masa terdekat.
“Tapi kasihan kepada Bersatu, bertepuk sebelah tangan. Bayangkan, bagaimana mereka boleh jadi sebuah kerajaan yang stabil sekiranya tidak boleh berfaham-faham antara satu sama lain,” ujar beliau lagi.
Ahli Parlimen Tebrau itu mendawa, ternyata PN sebuah pakatan yang semakin hari semakin tidak relevan di mata rakyat.
Terdahulu, Mohamed Azmin membayangkan kemungkinan berlaku PRU mengejut atau snap election pada hujung tahun ini.
Beliau dilaporkan berkata, perkara itu antara ditegaskan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta semua jentera parti mesti digerakkan sekarang.
“Perbincangan juga memberi tumpuan kepada perkembangan yang amat meyakinkan susulan perbincangan khas dalam kalangan pimpinan tertinggi Bersatu dan Pas pada Rabu lalu, 5 Februari (lalu) yang turut dihadiri oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang dan YB Pengerusi Perikatan Nasional,” katanya menerusi hantaran ddalam Facebook miliknya, 8 Februari lalu.- MalaysiaGazette