KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Basir Abu Bakar, bekas wartawan Utusan yang meninggal dunia petang semalam.
Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil langkah segera untuk memastikan ketiga-tiga anak Allahyarham mendapat bantuan yang sewajarnya, khususnya dalam aspek pendidikan.
“Saya ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Basir, rakan media yang telah meninggal dunia semalam. Beliau meninggalkan tiga orang anak yang kini menjadi yatim piatu selepas pemergian ibu dan bapa.
“Saya telah meminta pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memastikan anak-anak ini dibantu, terutamanya dari segi pendidikan. Bantuan lain, termasuk sokongan psikososial, juga akan diberikan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan.
Allahyarham Basir menghembuskan nafas terakhir di Hospital Serdang akibat komplikasi kesihatan dan meninggalkan tiga orang anak berusia 10 hingga 15 tahun.
Isteri Allahyarham, Nor Azlina Jaafar, bekas jurufoto Kumpulan Utusan meninggal dunia pada 17 Oktober 2023.
Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR, melalui pegawainya, turut menyampaikan sumbangan tunai secara peribadi bagi membantu meringankan beban keluarga tersebut.
Kata beliau, bantuan kewangan, tempat perlindungan yang selamat, serta bimbingan emosi dan psikologi menjadi keperluan utama mereka dalam menghadapi kehilangan besar ini.
“KPM menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap murid, terutama yang berada dalam situasi sukar seperti ini, tidak tercicir daripada pendidikan dan mendapat sokongan yang diperlukan untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya. -MalaysiaGazette