KUALA LUMPUR – Inisiatif Kemahiran India Malaysia (MISI) kendalian HRD Corp. membuktikan bahawa latihan kemahiran dapat membuka peluang pekerjaan serta menjamin pendapatan stabil.
HRD Corp. berkata, program ini bukan sahaja membantu peserta memperoleh pekerjaan, malah membina masa depan yang lebih cerah melalui latihan yang selaras dengan keperluan industri.
Salah satu kejayaan yang dicatatkan adalah kisah Kumaresan, seorang graduan berusia 18 tahun daripada program Kulinari MISI di Perai, Pulau Pinang yang berjaya mendapatkan pekerjaan di restoran ternama selepas tamat latihan intensif lima dengan gaji luar jangkaan.
“Hanya dengan usia muda seperti ini, Kumaresan berjaya melalui inisiatif kerajaan Madani hari ini. Pastinya kehidupan anak muda ini akan lebih terjamin dan bakal mencatat pelbagai kejayaan dalam kehidupannya pada masa akan datang.
“Kejayaan Kumaresan membuktikan keberkesanan latihan berasaskan kompetensi dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan.
“Ketika ramai belia masih mencari pekerjaan, kisah kejayaan seperti ini menunjukkan bahawa dengan kemahiran yang tepat, peluang kerjaya lebih mudah dicapai,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, kisah kejayaan MISI tidak terhad kepada bidang kulinari sahaja, sebaliknya kisah Prema Latha, 24, anak kelahiran Johor juga membuktikan bahawa latihan kemahiran mampu mengubah masa depan seseorang.

Prema difahamkan mendaftar program ‘Early Childhood Home Care (ECH)’ bawah MISI yang membolehkan beliau bergelar pendidik awal kanak-kanak bertauliah serta berusaha mendapatkan sijil Permata, kelayakan penting dalam bidang tersebut.
“Program latihan Early Childhood Home Care (ECH) telah berjaya dilaksanakan pada 21 hingga 25 November 2024 di Repah, Negeri Sembilan yang merupakan latihan untuk menyediakan peserta dari kalangan masyarakat India Malaysia termasuk suri rumah, lepasan sekolah, guru tadika, dan ibu tunggal dengan kemahiran serta pengetahuan asas untuk membina kerjaya dalam bidang ini.
“Kelebihannya, bukan sahaja beri kemahiran untuk bergaji tinggi sebaliknya membolehkan peserta menubuhkan pusat jagaan kanak-kanak sendiri, sekali gus meningkatkan pemerkasaan ekonomi dalam komuniti,” katanya.
Sejak dilancarkan pada September 2024, MISI inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dengan jaminan dana sebanyak RM30 juta daripada Kementerian Sumber Manusia, MITRA, dan Kementerian Kewangan bagi memperkukuh inisiatif ini.
Menurut HRD Corp, MISI direka khas untuk memenuhi permintaan industri, dengan latihan merangkumi pelbagai sektor berimpak tinggi seperti Kecerdasan Buatan (AI), Pertanian Pintar, Keselamatan Siber, Teknologi Dron, Teknologi Retort, Penyelenggaraan Superbike dan EV, Sains Data, serta banyak lagi.
“Dengan setiap kisah kejayaan seperti Kumaresan dan Prema, MISI terus mengubah kehidupan dan membuktikan bahawa dengan latihan serta peluang yang tepat, masa depan yang lebih cerah dapat dibina,” ujarnya. – MalaysiaGazette