PETALING JAYA – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding pengurusan lapangan terbang awam dan dakwaan kerugian RM500 juta dalam urus niaga saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, prosiding yang bermula esok akan memanggil waklil Kementerian Kewangan (MOF) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
“Petang (esok) kita panggil MOT dan Khazanah. Selasa kita akan panggil Kementerian Kewangan dan CEO KWSP, kita mula prosoding.
“Pengurusan lapangan terbang ini isu besar dari segi kenaikan tiket, aerotrain sampai hari ini tak selesai.
“Prosiding akan berlaku dalam tempoh yang panjang sebab banyak pihak kita panggil bukan hanya isu penjualan saham semata-mata tetapi lebih dari itu.
“Kita juga akan panggil KSU Kementerian Pengangkutan pada hari Selasa dan MAVCOM,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan lagu, uniform baharu dan Sri Peguam di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), hari ini.
Sebelum ini, Mas Ermieyati berkata, PAC tidak menolak kemungkinan memanggil beberapa individu penting termasuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung dakwaan kerugian RM500 juta dalam urus niaga saham MAHB oleh KWSP.
Malah beliau berkata, Loke bersama semua individu berkenaan akan dipanggil memberi keterangan dalam prosiding secara berperingkat yang akan bermula minggu kedua Februari.
Media sebelum ini melaporkan, beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik mendesak KWSP menjelaskan penjualan saham MAHB yang dimilikinya pada Januari 2023 dengan pada harga RM6.74 sesaham sebelum membelinya semula pada harga tawaran RM11 sesaham dalam usaha menswastakan MAHB.
MCA turut meminta kerajaan menyiasat segera penjualan saham syarikat penerbangan awam itu, sekali gus menyaksikan KWSP hanya menguasai lima peratus kepentingan dalam MAHB. – MalaysiaGazette