Fahmi Fadzil menjawab soalan salah seorang penunggang p-hailing pada Program Temu Anak Muda Lembah Pantai di Kuala Lumpur. FOTO NORLIZAH ABAS, 16 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Pakej P-Hailing Rahmah akan dikaji semula ekoran wujud kelemahan dalam sistem penyampaian maklumat kepada pengguna perkhidmatan itu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan manfaatnya benar-benar sampai kepada gologan sasaran.

“Kementerian mendapati ketika pelaksanaannya tahun lalu, perbincangan sebelum ini dilakukan antara syarikat telekomunikasi (telco) dan syarikat p-hailing, tetapi maklumat kadang-kadang tidak sampai kepada penunggang.

“Hasrat utama kerajaan dalam menyediakan Pakej P-Hailing Rahmah adalah untuk membantu penunggang perkhidmatan itu, bukan hanya kepada syarikat penyedia perkhidmatan,” katanya ketika berucap pada Program Temu Anak Muda Lembah Pantai di sini, hari ini.

Program berkenaan menjadi platform bagi golongan muda kawasan itu menyuarakan cadangan dan pandangan dalam menyelesaikan isu setempat khususnya melibatkan ekonomi gig.

Fahmi turut berkata, pihaknya akan meminta kajian semula dilakukan bagi mengenal pasti jumlah keseluruhan penunggang yang terlibat.

“Saya akan minta laporan pasca pelaksanaan mengenai jumlah rider yang terlibat dan mungkin kita perlu mencari kaedah lebih efektif, bukan melalui syarikat tetapi secara terus kepada para rider,” katanya lagi.

Media melaporkan, Pakej P-Hailing Rahmah membuka peluang kepada semua penunggang yang layak menerima pakej data istimewa khas bermula 23 Januari 2024.

Fahmi berkata, ia bakal memanfaatkan hampir 200,000 penunggang p-hailing berdaftar dari 16 syarikat seluruh negara.

Pada program hari ini, lebih 150 anak muda terdiri daripada pekerja p-hailing dan e-hailing sekitar Lembah Pantai menghadirinya.

Program turut diisi dengan sesi ceramah keselamatan jalan raya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Trafik Kuala Lumpur serta pameran dan reruai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan.

Terdahulu dalam ucapannya, Fahmi berkata, beliau akan berbincang dengan ketua rider untuk memahami keperluan mereka secara lebih mendalam.

“Kita juga perlu meneliti isu kebajikan kerana kemudahan asas seperti pusat henti rehat wajar dipertimbangkan serta meningkatkan akses internet bagi pekerja p-hailing dan e-hailing,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here