Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (tengah) bercakap kepada wartawan ketika sidang media selepas menziarahi anak-anak kepada kepada Bekas Wartawan Utusan Malaysia Allahyarham Muhammad Basir Abu Bakar di rumahnya di Jalan Setia 2, Seri Kembangan, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 16 FEBUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Isu tunggakan gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kakitangan penerbit portal berita, Petra News Sdn. Bhd. perlu diselesaikan segera oleh syarikat itu.

Selain itu, isu Potongan Cukai Bulanan (PCB) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) lebih setahun turut berbangkit.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau difahamkan Petra News akan mengadakan pertemuan dalaman dalam masa terdekat dan pihaknya akan memantau perkembangan mesyuarat tersebut sebelum membuat keputusan.

“Saya juga tidak tahu mengapa pertemuan ini tidak diadakan lebih awal tapi pemilik syarikat ini perlu selesaikan perkara ini segera,” katanya selepas melawat tiga orang anak bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad, Allahyarham Muhammad Basir Abu Bakar di Seri Kembangan, di sini, hari ini.

Semalam, seramai 15 petugas penerbit portal berita The Malaysian Insight, The Vibes dan Getaran itu menuntut pembayaran segera gaji tertunggak selain caruman KWSP, PCB dan PERKESO yang tidak dilaksanakan syarikat berkenaan sejak 2024.

Menerusi kenyataan bersama, mereka memaklumkan hasil semakan dengan KWSP, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan PERKESO mendapati Petra News gagal menyerahkan bayaran bagi pihak pekerja dan majikan kepada pihak berkuasa berkaitan, walaupun pemotongan gaji telah dibuat untuk caruman berkanun.

Susulan itu, petugas terjejas telah membuat laporan di Balai Polis Travers, Brickfields semalam.

Menurut kenyataan itu, selain kegagalan menyerahkan caruman berkanun, pekerja juga mengalami kelewatan pembayaran gaji sejak 2024 dan petugas yang terkesan telah mengemukakan aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di bawah Kementerian Sumber Manusia, yang kini menjalankan siasatan.

Petra News difahamkan gagal menghadiri sebahagian daripada sesi pendengaran yang telah dijadualkan, menolak untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) serta melanggar perjanjian terdahulu bagi beberapa pengadu, sekali gus mencemarkan integriti sistem perundangan buruh. -MalaysiaGazette

Pemilik Malaysian Insight, The Vibes digesa lunas tunggakan gaji, caruman KWSP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here