Wee Tse semasa hadir Rumah Terbuka Parlimen Tebrau 2025 dan PKR Johor di Cathay Eco Spring, Tebrau, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) terutama UMNO diharap tidak menutup pintu rundingan untuk menubuhkan kerajaan Perpaduan di negeri ini sebelum pilihan raya negeri (PRN) berlangsung.

Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, perkara itu masih belum terlambat untuk direalisasikan kerana pembabitan parti komponen Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan di negeri ini amat penting.

Jelas Ahli Parlimen Tebrau itu, ini bagi membolehkan gabungan itu mempunyai wakil di dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Kewujudan Kerajaan Perpaduan di Johor juga penting bagi memastikan keharmonian akar umbi PH selain memastikan kerjasama gabungan itu dengan Barisan Nasional (BN) bertambah kukuh.

“PKR Johor menyokong kenyataan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor minggu lalu yang berharap PH Johor di beri peluang menyertai pentadbiran kerajaan negeri sebagai ketua kampung atau ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bagi saya, kerajaan Perpaduan di Johor adalah benda yang boleh dirunding, kita jangan tutup pintu rundingan.

“Pembabitan parti komponen PH dalam kerajaan perpaduan di Johor  itu penting, contohnya saya sebagai Ahli Parlimen PH, tetapi wakil PH tidak ada sebagai ahli majlis atau pun ketua kampung.

“Sedangkan gabungan PH adalah komponen utama dalam kerajaan Pusat. PH Johor ada pengalaman dan pandangan yang boleh kita sumbangkam kepada pentadbiran kerajaan negeri.

“Bukan maksudnya kerajaan negeri diterajui BN Johor sekarang tidak bagus, tetapi boleh menjadi lebih baik dengan penyertaan parti komponen PH,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Rumah Terbuka Parlimen Tebrau 2025 dan PKR Johor di Cathay Eco Spring, Tebrau di sini hari ini.

Minggu lalu, Muhammad Faezuddin dilaporkan berkata, kerjasama PH-BN di Johor perlu bermula sekarang dalam usaha menjamin kemenangan pada pilihan raya umum (PRU), mahupun pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Muhammad Faezuddin berkata, bagi menuju ke arah kerjasama itu, adalah penting bagi pimpinan PH untuk menyertai pentadbiran kerajaan negeri Johor seperti di pejabat daerah sebagai ketua kampung atau ahli majlis di peringkat PBT.

Ini susulan kenyataan Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azlen Ambros yang dilaporkan berkata BN, mempunyai peluang lebih baik untuk memenangi kerusi Parlimen Tier 2 pada PRU akan datang jika berganding bahu dengan PH.

BN Johor pada PRN Johor 2022 membentuk kerajaan negeri apabila meraih majoriti dua pertiga dengan menang 40 daripada 56 kerusi. PH pula berjaya memenangi 12 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) pula meraih tiga kerusi dan MUDA pula satu kerusi.

Ditanya mengenai hubungan PH dan BN Johor ketika ini, Jimmy berkata, perkara itu terpulang kepada tafsiran dan pandangan mana-mana pihak serta masyarakat.

“(Hubungan) keadaan sekarang, boleh lihat daripada sudut mana pun, bagi saya masih ada peluang untuk runding kerjasama di Johor,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here