GEORGE TOWN – Polis menahan seorang gadis tempatan susulan penemuan bayi lelaki di sebuah perhentian bas di Jalan Perak, Pulau Tikus, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan bayi itu jam 10.14 pagi.
“Hasil siasatan mendapati bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan itu diletakkan dalam beg kertas sebelum ditinggalkan ibu kandungnya di perhentian bas tersebut jam 8.03 pagi.
“Bertindak atas maklumat dan risikan pihak polis kemudian memberkas gadis tempatan berusia 20 tahun di sebuah hospital swasta pada jam 2.20 petang tadi.

“Dengan tangkapan suspek tersebut kes berjaya diselesaikan kurang lima jam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Abdul Rozak, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. = MalaysiaGazette