kereta dan pagar rumah di Jalan Yahya Awal di Bandaraya Johor Bahru disimbah cat merah dipercayai perbuatan ah long.

JOHOR BAHRU – Sebuah keluarga di Jalan Yahya Awal di bandar raya ini trauma dan hidup dalam ketakutan selepas rumah dan kereta mereka disimbah cat merah dipercayai perbuatan khianat ah long, kelmarin.

Mangsa, Afzan Mohd Arif memuat naik kejadian yang berlaku terhadap keluarganya dalam Facebook miliknya semalam sambil melahirkan kebimbangannya.

“Dua hari lepas, rumah mentua saya di Johor kena simbah cat merah di pagar termasuk kereta ayah mertua yang berada dalam pagar.

“Apa yang lebih menakutkan, ada sekeping nota ugutan turut ditampal di pagar menyatakan ‘This is first warning. Next burn your home’. Berderau darah. Siapa yang hantar? Kenapa rumah ini jadi sasaran,” tulisnya.

Afzan memaklumkan, perkara tersebut mula disedari adik iparnya sekitar pukul 9 malam Selasa dan ketika itu cat masih basah.

Dalam nota yang ditinggalkan memang ada ugutan untuk bakar rumah termasuk nama peminjam, namun dia dan keluarga langsung tidak mengenali individu tersebut.

“Nama dalam nota bukan nama sesiapa dalam keluarga kami sebab si pemiutang itu berbangsa India. Tak ada sesiapa yang kenal pun dengan individu disebutkan.

“Dalam nota ada nombor telefon tetapi gagal dihubungi. Kemudian, isteri saya hantar pesanan menerusi aplikasi WhatsApp mengenai keadaan rumah dan kereta serta menggesa mereka untuk hubungi kami semula secepat mungkin,” jelasnya.

Tambahnya, sehari selepas kejadian ah long yang dikenali sebagai Darren telah menghubungi isterinya dan memaksa untuk membayar hutang tersebut, jika tidak rumah akan dibakar.

Ujarnya, sudah dimaklumkan bahawa dia dan keluarga tidak mengenali  pemiutang, namun ah long itu tetap bertegas dengan ugutan tersebut.

Menurut Afzan, bimbang akan keselamatan ibu dan bapa mertua, dia serta isteri bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian dan dimaklumkan bahawa itu merupakan modus operandi terbaru ah long.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku di Jalan Yahya Awal itu pukul 10.42 malam Selasa lalu.

Bagaimanapun katanya, suspek masih belum dikenal pasti dan kes akan disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat.

“Mangsa menafikan terlibat dengan sebarang pinjaman dengan mana-mana ah long dan sudah tinggal di sana selama 30 tahun. Semasa kejadian, mangsa serta ahli keluarga tiada di rumah.

“Siasatan awal di lokasi mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTC) atau saksi awam yang melihat kejadian tersebut.

“Pihak polis juga sedang menyiasat dua nombor telefon berkaitan untuk mengesan suspek.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini diminta untuk menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here