KUANTAN – Suspek dalam kes bunuh peniaga, Norshamira Zainal dibawa ke lokasi kejadian di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, di sini, bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, lelaki berusia 53 tahun itu berpakaian lokap berwarna oren diiringi kawalan ketat tiba di lokasi kejadian jam 2.30 petang.
”Polis berusaha mendapatkan bahan bukti lain di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Suspek memakai pelitup muka dengan kedua-dua tangannya digari dan berada di sekitar lokasi itu selama sejam setengah sebelum dibawa beredar.
Pada Sabtu lalu, lelaki itu ditahan di sebuah rumah di Wakaf Tembusu, Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu kira-kira jam 5.30 pagi.
Majistret Nor Izzati Zakaria membenarkan permohonan reman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga 21 Februari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mayat Norshamira yang berusia 37 ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur dekat Kuantan pada Khamis lalu.
Polis mengesahkan terdapat unsur jenayah pada tubuh peniaga makanan yang menjalankan perniagaan secara penghantaran tunai (COD) itu. – MalaysiaGazette