Gambar hiasan

Oleh : Muhammad Taftazany Abd Rahman

Tanggal 15 Syaaban, bermakna hampir dua minggu lagi kita akan menjengah masuk ke bulan yang penuh dengan kemuliaan dalam setiap detiknya iaitu bulan Ramadan. Melalui analogi yang sering didatangkan oleh para ulama’, diertikan bulan Rejab sebagai bulan menabur benih, bulan Syaaban sebagai bulan menyiram tanaman dan bulan Ramadan sebagai bulan menuai hasil. 

Sesuatu hasil yang segar dan baik kualitinya tidak akan mampu berbuah tanpa bermula daripada semaian benih yang baik. Dengan menyedari hakikat diri sebagai hamba yang serba kekurangan, kita perlu memanfaatkan kurniaan kedatangan bulan Syaaban sebagai bulan untuk kita bermuhasabah dan mempersiapkan diri sebelum menyambut kedatangan Ramadan.

Syaaban wadah mempersiapkan diri

Dalam menyingkap kemuliaan bulan Syaaban, umat Islam perlu bersyukur kerana dianugerahi dengan keistimewaan dalam setiap bulan Islam yang sentiasa mengingatkan kita kepada Sang Pencipta. Bermula dengan Rejab yang menyimpan sejarah Isra’ dan Mikraj, Sya’ban yang memiliki kemustajaban doa pada malam nisfu sya’ban dan Ramadan yang merupakan ladang ibadah dan terkandung Lailatul Qadar. Setiap bulan ini membawa simbolik yang agung kepada umat Islam dan menjadi petunjuk kepada ketersediaan hamba dalam melaksanakan tuntutan syariat. 

Misalnya, perintah meraikan hari raya pertama dengan pengharaman berpuasa pada bulan Syawal, merupakan wadah pengembalian diri untuk kembali kepada fitrah ketaatan seseorang hamba setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan. Maka, bulan Syaaban memainkan peranan yang signifikan bagi seseorang muslim dalam menyusun strategi untuk memaksimakan ibadah di bulan Ramadan.

Pengabaian terhadap kepentingan bulan Sya’ban sebagai wadah mempersiapkan diri akan membawa kepada kesukaran untuk memanfaatkan bulan Ramadan dan berkemungkinan akan mensia-siakan ganjaran yang diberikan.

Selangkah menuju ke bulan ibadah

Bagi memotivasikan diri untuk konsisten melakukan amal kebaikan di bulan Ramadan, kefahaman yang mendasar terhadap hakikat pensyariatan puasa perlu disuntik agar membentuk ketersediaan jiwa, fizikal dan mental. Menurut Syeikh ‘Izzuddin Abd al-Salam (w.660H) mengatakan bahawa objektif tertinggi dalam ibadah puasa atau disebut sebagai  al-maqasid al-asliyyah ialah meningkatkan ketakwaan dalam diri sepertimana yang dinayatakan dalam surah al-Baqarah ayat 183.

Proses pembentukan jiwa ini tidak berlaku dalam sekelip mata bahkan memerlukan mujahadah dan penyucian jiwa melalui bimbingan rabbani untuk ketersediaan diri menyambut bulan Ramadan yang mulia. Lantaran itu, bulan Sya’ban menjadi langkah terakhir untuk menyediakan diri sebelum melangkah masuk ke bulan Ramadan.

Antara persediaan yang boleh dilakukan adalah melazimi bacaan al-Quran, menghayati maksud dan intipati yang disampaikan oleh al-Quran, mendirikan solat secara berjemaah, memperbanyakkan bersedekah, mengawal tutur bicara dalam komunikasi harian, mempamerkan akhlak yang mulia dan sentiasa memperbaharui niat unutuk beribadah dalam melakukan apa jua pekerjaan. Persediaan ini memerlukan usaha bersama dalam komuniti yang membentuk hubungan keterikatan antara jiwa melalui amal soleh yang membentuk perpaduan yang harmoni dalam landasan hidup beragama.

Usah sia-siakan ibadah tanpa ilmu

Walau bagaimanapun, bagi memastikan keabsahan setiap amalan yang dilakukan, seseorang muslim itu mestilah menuntut ilmu mengenainya agar setiap amalan tersebut sah dan bertepatan dengan perintah syarak. Dalam era globalisasi tanpa sempadan ini, ilmu dapat diakses melalui platform yang pelbagai namun perlu mengutamakan pembelajaran yang disampaikan oleh individu yang berkelayakan dan mempunyai kapasiti dalam membincangkan hukum-hakam seperti institusi fatwa dan sebagainya. Tambahan pula, terdapat pelbagai inisiatif untuk membincangkan hukum dan permasalahan berkaitan puasa yang dianjurkan oleh masjid, institusi, pusat pengajian, badan persendirian dan sebagainya melalui daurah, kuliah dan seminar.

Kefahaman yang benar amat diperlukan bagi menjamin kesahihan ibadah yang dilakukan agar tidak sia-sia dalam melakasanakan tuntutan agama. Disebabkan ibadah puasa di bulan Ramadan merupakan ibadah tahunan, maka umat Islam dianjurkan untuk mempelajari hukum-hakam berkaitan puasa yang melibatkan syarat sah puasa, perkara yang membatalkan puasa, kelebihan bulan ramadan, tatacara pelaksanaan solat sunat tarawih dan ibadah yang dianjurkan sepanjang bulan Ramadan.

Maka, bulan Sya’ban seharusnya menjadi bulan memperkasakan ilmu pengetahuan berkaitan puasa khususnya supaya menjadi ibadah yang diiktiraf oleh syarak.

Kesimpulannya, dalam bersungguh-sungguh menyediakan diri menyambut bulan Ramadan, umat Islam telah membentuk sudut-sudut kesyumulan agama dalam diri yang merangkumi aspek akidah, aspek syariah dan aspek tasawwuf. Pemupukkan akidah yang sejati dapat direalisasikan melalui penerapan nilai-nilai takwa dalam diri seseorang muslim, kesan daripada menghayati maksud sebenar berpuasa.

Manakala, pemahaman yang jelas dalam hukum-hakam ibadah puasa akan menghilangkan kesamaran dan kebingungan dalam melaksanakan ibadah serta memotivasikan diri untuk memperbanyakkan ibadah hari demi hari. 

Madarasah Ramadan yang diawali dengan persiapan yang lengkap semasa di bulan Sya’ban akan membentuk budi pekerti yang mulia dan menghindari perkara-perkara yang jauh daripada akhlak yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Penghayatan yang mendalam dalam ketiga-tiga perkara di atas dan direalisasikan melalui persediaan bulan Syaaban sebagai jambatan terakhir menuju Ramadan semestinya akan menjadi platform anjakan paradigma bagi seseorang Muslim. 

Dengan hari-hari yang berbaki, kita tidak seharusnya mensia-siakan masa untuk memperbaiki diri agar dapat memaksimakan amal kebaikan secara optimum menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi. Hayatilah pesanan Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah rh. 

Bahawa Baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jal mencintai apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun”. Moga dengan segala persiapan yang kita sediakan sebagai bekalan menuju Ramadan tahun ini mendapatkan keberkatan dan dirahmati Allah SWT.

Penulis merupakan Calon Doktor Falsafah, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here