KUALA LUMPUR – Jabatan Kimia mendapati tiada sebarang unsur asid deoksiribonukleik (DNA) khinzir dalam semua sampel setiap perisa sandwic yang didapati menyalah guna logo halal, baru-baru ini.
“Saya ingin sahkan Jabatan Kimia telah mengesahkan bahawa tidak ada DNA Porcine babi dalam semua sampel, semua jenis perisa tersebut,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dalam kenyataan.
Pada 13 Januari lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam kenyataan mengesahkan produk ‘ham dan cheese’ yang dijual dalam premis di universiti awam itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk itu bukan pemegang SPHM.
Sebelum ini, Armizan meminta semua pihak tidak membuat spekulasi berhubung isu penyalahgunaan logo halal membabitkan produk ‘ham dan cheese’ yang dijual premis di universiti awam di sini. – MalaysiaGazette