KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang menyamar sebagai tetamu dan mencuri wang RM2,500 pada majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan, Kelantan pada 1 Februari lalu akhirnya ditangkap polis.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, suspek ditahan pada pukul 2.35 petang tadi oleh anggota polis di hadapan sebuah masjid di Kota Bharu.
Terdahulu, tambahnya, anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah telah terserempak dengan sebuah teksi jenis Nissan Sentra dalam keadaan mencurigakan semasa melakukan rondaan sepasukan.
“Anggota bertugas terus mengekori kereta tersebut dan menahan suspek bersama seorang lagi rakannya yang merupakan pemandu teksi di hadapan sebuah masjid.
“Anggota bertugas telah melakukan pemeriksaan ke atas tubuh badan kedua-dua suspek dan tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar Kama Azural, siasatan awal mendapati suspek mengaku telah mencuri wang berjumlah RM2,500 semasa majlis perkahwinan tersebut.
Jelasnya, semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau.
“Seorang lagi rakan suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 62 tahun mempunyai satu rekod jenayah lampau,” katanya.
Menurut beliau, kedua-dua mereka akan dibawa ke Mahkamah Pasir Mas esok, untuk mendapatkan perintah tahanan reman. – MalaysiaGazette