KUALA LUMPUR- Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] akan dipinda untuk menggalakkan dan memudahkan pemberi maklumat membuat pendedahan kelakuan tidak wajar di samping akan melindungi orang yang membuat pendedahan daripada tindakan yang memudaratkan.
Ia juga memastikan supaya pendedahan tersebut disiasat dan diuruskan dengan sewajarnya, kata Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri.
BHEUU JPM yang menerajui usaha itu berkata, cadangan pindaan Akta 711 itu juga merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) Bagi Tahun 2019 – 2023.
Menurut BHEUU JPM, lebih 20 sesi mesyuarat jawatankuasa kerja, lima bengkel pembangunan dan penetapan dasar serta enam sesi libat urus telah diadakan dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti agensi Kerajaan, agensi-agensi penguatkuasaan utama serta badan bukan kerajaan bagi meneliti semula Akta 711 secara keseluruhannya.
“Ini adalah penting untuk mendapatkan pandangan dan khidmat nasihat daripada pemegang taruh serta kesediaan badan-badan yang telah diperuntukkan kuasa terhadap mekanisme pelaksanaan dan implikasi yang mungkin berbangkit apabila pindaan ini dikuatkuasakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, BHEUU JPM turut menerima maklum balas daripada pihak C4 Center, Rasuah Busters, Transparency International, Majlis Peguam dan juga CSO Platform for Reform bagi mendapatkan pandangan yang lebih menyeluruh supaya semua aspek dapat diambil kira dalam merealisasikan cadangan pindaan ini.
Menurut BHEUU JPM, cadangan dasar itu merangkumi pengubahsuaian proviso di bawah seksyen 6 membuat pendedahan berhubung sebarang kelakuan tidak wajar.
Ia selaras dengan tafsiran kelakuan tidak wajar tersebut di bawah Seksyen 2 Akta 711; dan penambahbaikan seksyen 11 Akta 711 bagi peruntukan pembatalan perlindungan kepada pemberi maklumat.
Ini membolehkan perlindungan dilanjutkan sekiranya pendedahan yang dibuat adalah berdasarkan niat baik (good faith) dan tidak melibatkan sebarang kepentingan peribadi.
Selain itu ujarnya, penambahbaikan turut merangkumi pengenalan kaedah dan skala pengiraan ganjaran melalui Peraturan di bawah Akta 711.
Ia mengguna pakai kuasa Menteri untuk membuat peraturan-peraturan di bawah Seksyen 27(1) Akta 711 dan diwartakan bagi tujuan penguatkuasaan.
Pindaan turut melibatkan cadangan perluasan perlindungan kepada pemberi maklumat dari segi fizikal dengan mengguna pakai Program Perlindungan Saksi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 [Akta 696].
“Selain itu, BHEUU, JPM juga mencadangkan penubuhan satu Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat secara interim untuk memantapkan aspek pengurusan dan penyelarasan pelaksanaan perlindungan pemberi maklumat di bawah Akta 711 sebelum penubuhan agensi berpusat sebenar.
“Jawatankuasa ini juga boleh dijadikan sebagai penanda aras bagi menentukan fungsi sebenar agensi berpusat serta tatacara bersesuaian bagi mengendalikan pelbagai senario pendedahan kelakuan tidak wajar melalui pelbagai agensi,” ujarnya lagi.
Menurut BHEUU JPM, melalui perangkaan dasar yang tepat, pindaan itu bukan sahaja memberi perlindungan kepada pemberi maklumat tetapi juga boleh meningkatkan keyakinan kepada masyarakat supaya lebih yakin untuk mendedahkan apa-apa kelakuan tidak wajar.
Cadangan pindaan itu juga diyakini dapat membantu Kerajaan untuk mewujudkan masyarakat MADANI yang akan sentiasa menolak perbuatan salah laku, rasuah dan pelanggaran integriti dalam kehidupan seharian.- MalaysiaGazette