Ruben Amorim. Foto BBC.

LONDON – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim mengakui  tidak risau sekiranya dipecat  selepas kelab tersebut jatuh ke kedudukan terburuk dalam kedudukan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam tempoh 51 tahun.

Tewas tipis 0-1 kepada Tottenham Hotspur awal pagi yang turut sedang mengalami penurunan prestasi, United mengalami kekalahan ke-12 dalam kempen liga musim ini.

Keadaan yang menyaksikan Red Devils berada di kedudukan ke-15 dengan hanya mengumpul 29 mata hasil lapan kemenangan, lima keputusan seri dan 12 kekalahan.

Melihatkan kepada risiko berkemungkinan akan dipecat ekoran prestasi terlalu buruk itu, Amorim dilihat tenang dan tidak menghiraukan tekanan tersebut.

“Saya benci kepada kekalahan, perasaan itu adalah yang paling teruk. Selain itu, saya tidak memikirkan apa-apa dan berada di sini untuk membantu pemain-pemain saya.

“Saya faham situasi saya, pekerjaan saya, saya yakin dengan kerja saya dan saya hanya mahu menang perlawanan. Kedudukan dalam carta liga adalah kebimbangan saya, saya tidak risau tentang diri saya,” kata lapor Goal.com.

Ketika ini lebih memalukan, United hanya 12 mata meninggalkan dua pasukan yang berada di zon penyingkiran iaitu Ipswich Town dan Leicester City.

Ini merupakan kali pertama Manchester United tewas 12 perlawanan pada 25 aksi dalam satu musim di mana kali terakhir berlaku dalam musim 1973/74.

Pada ketika itu, United terjatuh daripada saingan utama.

Aksi seterusnya yang bakal dilalui anak-anak buah Ruben Amorim ialah berdepan Everton di Goodison Park pada Sabtu nanti.

Everton jelas bukan lawan mudah buat United kerana pasukan tersebut dilihat sudah mula mendapatkan rentak terbaik sejak kembali dibimbing oleh Davis Moyes. – Agensi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast