KUALA LUMPUR – Institusi perbankan boleh dikenakan tindakan pengawalseliaan dan penguatkuasaan sekiranya berlaku penyalahgunaan bagi tujuan jenayah kewangan termasuk penipuan dan akaun keldai.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, bank terbabit boleh dikenakan tindakan termasuk pendakwaan, kompaun, admin penalti mahupun surat amaran.
“Bank wajib untuk melaksanakan usaha wajar pelanggan (CDD), usaha wajar pelanggan berterusan (OCD), pemantauan transaksi, pengesahan penipuan dan keselamatan siber.
“Kuasa untuk mengeluarkan peraturan dan mengambil tindakan ini diperuntukkan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
“Tindakan sama boleh diambil mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013,” katanya berucap pada sesi menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Hui Ying menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen meminta Menteri Kewangan menyatakan sejauh mana kerajaan mewajibkan bank-bank yang membenarkan akaun keldai dibuka dan digunakan dalam penipuan serta bank scam agar membayar ganti rugi kepada mangsa-mangsa.
Menurut Hui Ying, industri kewangan telah mengeluarkan piawaian industri mengenai pelaporan dan pengendalian akaun keldai bagi memastikan pengesanan akaun keldai yang lebih berkesan.
“Piawaian ini memastikan pendekatan lebih konsisten, merentas industri dan dalam menyahsenarai dan memberi akses kewangan kepada pemegang akaun keldai.
“Proses menganalisa akaun keldai serta CDD juga telah ditambah baik, disokong data yang lebih komprehensif,” katanya.
Dalam masa sama, katanya, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 95 peratus dari kes penipuan kewangan di Malaysia terjadi akibat mangsa secara sukarela melakukan transaksi pembayaran.
“Dalam kes-kes seperti ini, pembayaran ganti rugi dengan sewenang-wenangnya boleh membawa kepada bahaya moral.
“Usaha daripada pelbagai pihak juga penting bagi memastikan orang ramai sentiasa cakna dan berwaspada terhadap penipuan kewangan.
“Orang ramai dinasihati merujuk senarai amaran pengguna kewangan Bank Negara Malaysia, senarai peringatan pelabur Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta portal semak MULE oleh PDRM sebelum membuat apa-apa pemindahan wang atau pelaburan.
“Orang ramai juga boleh menggunakan aplikasi Whoscall yang dihebahkan oleh pihak PDRM untuk menghalang daripada menerima panggilan penipuan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette