Ular sawa yang menggigit Bella di tandas rumahnya. - Foto: Laman X @lovinghansoll

KUALA LUMPUR – Seorang wanita mengalami detik mencemaskan apabila paha dan jarinya cedera akibat gigitan ular sawa ketika menggunakan tandas untuk membuang air besar di rumahnya di Pontian, Johor.

Kejadian tersebut dikongsi oleh mangsa dikenali sebagai Bella menerusi akaun X @lovinghansoll di mana dia turut memuat naik gambar tangannya yang luka dan berdarah selepas bergelut dengan reptilia sepanjang kira-kira satu meter itu.

Menurutnya, insiden itu berlaku ketika dia sedang membuang air besar sambil bermain satu permainan dalam talian.

Jari Bella akibat digigit ular sawa ketika cuba melepaskan pahanya daripada gigitan ular itu. Foto: Laman X @lovinghansoll

Tetapi secara tiba-tiba, Bella merasakan gigitan tajam di bahagian pahanya.

“Saya sedang buang air besar menggunakan tandas duduk. Rumah taman ya, bukan rumah kampung tetapi selepas itu saya rasa seperti ada sesuatu menggigit paha di mana ia berasa lebih tajam daripada pisau cukur dan giginya sangat banyak.

“Ular itu menggigit dengan kuat seolah-olah membenamkan giginya dalam kulit saya,” katanya.

Terkejut dengan kejadian itu, Bella segera memegang mulut ular tersebut untuk melepaskan diri.

Namun tindakan itu menyebabkan jari-jarinya turut mengalami luka akibat gigi tajam haiwan berkenaan.

“Pada mulanya, saya tak sedar ia seekor ular sawa sehingga ia berhenti menggigit. Ular itu keluar dari dalam lubang tandas,” tambahnya.

Bella turut memaklumkan lantai bilik air dipenuhi darah selepas insiden mencemaskan itu.

“Saya menjerit tetapi tak menangis. Ayah datang membawa saya keluar dari bilik air. Saya sempat melihat ke belakang dan ular itu memang sangat besar! Tetapi ia sempat melarikan diri ke dalam lubang tandas sebelum dapat ditangkap.” ujarnya.

Bella kemudiannya mendapatkan rawatan di hospital dan lukanya dicuci dan diberi antibiotik.

Walaupun ular sawa tidak berbisa, dia memberitahu kejadian itu tetap meninggalkan kesan mendalam dan trauma kepadanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here