ISKANDAR PUTERI – Polis melumpuhkan satu sindiket memproses arak tiruan denganĀ rampasan bernilai RM329,990 dalam serbuan di dua buah kilang dalam Kawasan Industri Jaya dan Kawasan Taman Industri JB Perdana di sini pada 7 dan 9 Februari lalu.
Serbuan pada pukul 7 dan 7.30 malam itu dilakukan Balai Polis Nusa Bestari dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, sindiket tersebut dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu dan menyasarkan pembeli dalam kalangan warga asing.
“Dipercayai kedua-dua kilang tersebut digunakan untuk memproses arak tiruan. Bagaimanapun siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang sindiket ini,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri di sini hari ini.
Beliau berkata, antara yang dirampas dalam serbuan pertama di Kawasan Taman Industri Jaya, Skudai, di sini adalah 122 kotak dan 45 botol arak pelbagai jenama, sembilan tong berisi cecair dipercayai alkohol dan sembilan unit mesin memproses alkohol dengan jumlah keseluruhan bernilai RM317,640.
Katanya, seramai empat lelaki warga Myanmar berusia 21 hingga 43 yang merupakan pekerja di premis itu turut ditahan dalam serbuan.
Menerusi serbuan kedua pula barangan bernilai RM12,350 yang melibatkan rampasan 438 kotak botol kosong arak jenama Mc Dowells, lima tong berisi alkohol, 37 kotak penutup botol, 47 set kotak kosong arak pelbagai jenama, tujuh kotak pelekat logo, satu unit sealing can machine dan empat mesin pelekat logo.
Kumarasan berkata, seramai lima lelaki warga Myanmar berusia 22 hingga 39 yang juga pekerja premis ditahan dalam serbuan kedua di Kawasan Taman Industri JB Perdana.
Empat lelaki Myanmar yang ditahan dalam serbuan pertama katanya, direman selama 14 hari bermula 8 Februari manakala lima lagi dalam serbuan kedua direman bagi tempoh sama bermula 10 Februari.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, Seksyen 76 Akta Eksais 1976, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen, katanya.
Sementara itu dalam kes berlainan, Kumarasan berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 Simpang Renggam merampas 530 kotak arak pelbagai jenama tidak bercukai bernilai RM79,500 di sebuah kawasan di Nusa Bestari pada 12 Februari lalu.
Turut ditahan tujuh lelaki tempatan berusia 26 hingga 46 tahun dengan empat daripadanya mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.
Tambah beliau, semuanya direman selama 12 hari bermula 13 Februari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.- MalaysiaGazette