Aznan beramah mesra dengan murid yang hadir pada hari pertama sesi persekolahan SRBJ di SK Kota Puteri 4, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG – Kerajaan negeri akan melakukan penilaian awal bagi tempoh enam bulan hingga setahun terhadap keberkesanan pelaksanaan empat Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, ini bagi memastikan matlamat dapat SRBJ dapat dicapai selain memperbaiki kekurangan yang ada.

“Kita akan pantau (pelaksanaan SRBJ) pada setiap bulan cuma daripada segi keputusan (akademik) akan bergantung kepada (hasil) peperiksaan dan pentaksiran di peringkat guru-guru.

“Kalau kita nak tengok (hasil keberkesanan pelaksanaan SRBJ berdasarkan) keputusan peperiksaan, ia akan mengambil masa yang lama mungkin satu atau dua tahun.

“Namun daripada keputusan yang lebih ringkas (penilaian dalam masa singkat, boleh dilihat) lebih kepada teknik pembelajaran dan jugak teknik penerimaan pelajar-pelajar terhadap apa yang kita lakukan ini.

“Daripada segi penilaian pembelajaran pelajar akan dilihat dalam tempoh enam bulan hingga setahun dengan bantuan guru-guru,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri mahu SBRJ dilaksanakan dengan baik menerusi kaedah-kaedah yang akan diterapkan dan pemantauan dilakukan Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan pihaknya sendiri.

Katanya, pelaksanaan SRBJ melibatkan 2,574 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara, SMK Seri Kota Puteri 2 Masai, SK Tasek Utara Johor Bahru dan SK Seri Kota Puteri 4.

Selain itu ujar Aznan, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama-sama ibu bapa pelajar terlibat pada 20 Februari ini berhubung hasrat dan objektif pelaksanaan SRBJ.

“Fasa pertama pembelajaran akan berjalan seperti biasa dan tidak mengganggu silibus Kementerian Pendidikan (KPM), cuma akan ada beberapa kaedah pembelajaran yang akan ditambah.

“Cuma untuk fasa ini, sesi libat urus bersama ibu bapa akan diadakan supaya mereka faham apa hasrat kerajaan negeri mengenai SRBJ,” katanya.

Beliau memberitahu, dianggarkan seramai 90 guru SRBJ di empat buah sekolah yang terlibat akan dihantar menjalani latihan di National Institute of Education (NIE) Singapura pada April depan.

Menurutnya, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 212 guru yang terlibat dalam menjalani latihan secara berperingkat-peringkat di republik tersebut.

Aznan sebelum ini dilapor berkata, Kumpulan Fasa 1 membabitkan guru dan pasukan kepimpinan SRBJ telah ke Singapura pada 10 Februari lalu.

SRBJ katanya, memberi penekanan terhadap penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Bahasa Inggeris, dengan pelajar diwajibkan melengkapkan sekurang-kurangnya 112 jam kelas dalam mata pelajaran STEM setiap tahun berbanding sekurang-kurangnya 64 jam di sekolah lain.

Tambahnya, usaha kerajaan negeri melaksanakan SRBJ itu adalah selari dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail agar kualiti, sistem serta fasiliti pendidikan di Johor ditingkatkan selain memperbaharui silibus mata pelajaran sedia ada.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here