BATU PAHAT – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor mencekup 105 warga asing dalam Ops Sapu selepas menggempur rumah kongsi pekerja di daerah ini, semalam.
Operasi penguatkuasaan itu dijalankan oleh Unit Penguatkuasa JIM Cawangan Batu Pahat, Muar dan Segamat serta pegawai Bangunan Sultan Iskandar JIM Johor bermula pukul 1 hingga 3 pagi.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi itu dilakukan berikutan maklumat dan aduan awam berhubung warga asing yang bekerja tanpa pas/permit serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Tindakan diambil susulan aduan awam berhubung warga asing yang dipercayai tinggal di penempatan rumah kongsi tersebut tanpa pas/permit yang sah. Dalam operasi itu, seramai 329 warga asing telah diperiksa.
“Kesemua mereka yang ditahan adalah 77 lelaki warga Bangladesh, 16 lelaki dan tujuh wanita warganegara Indonesia, dua lelaki warganegara Myanmar, dua lelaki warganegara Pakistan serta seorang lelaki warganegara India.
“Mereka yang ditahan berusia antara 18 tahun hingga 54 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, semua mereka disyaki melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
Mereka ujarnya, ditahan mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa.
Beliau berkata, semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Mohd Rusdi berkata, JIM Johor tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan serta pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas/permit kerja yang sah.- MalaysiaGazette