Lim Guan Eng.-Foto HAZROL ZAINAL, 25 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya Akta Anti-Diskriminasi Kaum (ARD) digubal bagi mengawal dan mengambil tindakan terhadap pihak yang sengaja menghasut kebencian kaum dan tindakan ekstremis yang mensasarkan mana-mana komuniti semata-mata atas dasar bangsa atau latar belakang.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, ARD penting bagi menghentikan sama ada individu perseorangan yang tidak bertanggungjawab mahupun orang politik daripada terlibat dalam ucapan kebencian, mempamer kebencian kaum dengan apa cara sekalipun.

Tambahnya, ia juga penting bagi menghentikan tindakan provokatif yang boleh memecahbelahkan rakyat Malaysia dengan menimbulkan kebencian atau layanan tidak adil terhadap sesuatu komuniti.

“Kejadian yang tidak diingini di Sepang melibatkan seorang peniaga yang enggan menjual jagung kepada masyarakat India dan menggunakan bahasa yang merendahkan adalah sangat membimbangkan dan menunjukkan sejauh mana sentimen perkauman yang tidak sihat dan tidak rasional telah mempengaruhi segelintir golongan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, sentimen perkauman seperti dalam kejadian di Sepang yang ditunjukkan oleh seorang individu secara terbuka dan tanpa rasa malu tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang remeh, sama seperti ucapan rasis oleh ahli politik ekstrem.

Sebaliknya, ujar beliau, ia adalah satu realiti yang perlu ditangani melalui tindakan penguatkuasaan dan hukuman.

“Kegagalan untuk berbuat demikian akan membawa akibat yang buruk dan jauh, yang bukan sahaja akan memecahbelahkan negara, tetapi juga akan menyebabkan keruntuhan keharmonian kaum dan agama, serta penghormatan dan toleransi terhadap kepelbagaian yang menjadi ciri-ciri ‘Malaysia Truly Asia’,” katanya.

Kelmarin, tular di media sosial berkenaan tindakan seorang penjual jagung di Sepang yang meletakkan papan tanda berbaur perkauman sehingga mencetuskan rasa kurang senang banyak pihak.

Bagaimanapun, penjual jagung berkenaan, Abdul Aziz Musa tampil memohon maaf dan menjelaskan, perbuatan itu sama sekali tidak berniat untuk menghina kaum India. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here