KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius terhadap isu lelaki Muslim yang berpakaian menyerupai wanita dalam sebuah acara pertandingan hiburan semalam.
Ketua pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya telah menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi meneliti isu ini berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada.
“Kami juga merancang untuk memanggil pihak terlibat dalam satu sesi perbincangan terlibat bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut.
“Selain itu, nasihat dan bimbingan kepada mereka juga akan diberikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Sirajuddin turut meminta agar semua pihak menjadi lebih peka terhadap nilai agama dan kebudayaan di Malaysia bagi mengelakkan sebarang kontroversi yang boleh menyinggung perasaan masyarakat.
“Islam adalah agama yang meraikan hiburan selagi ia tidak bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak Islam. Walaupun hiburan merupakan elemen penting dalam memberi kegembiraan tetapi ia perlu dibatasi dengan nilai moral agar tidak menjejaskan sensitiviti masyarakat serta prinsip Islam.
“Oleh itu, kami berharap agar insiden ini tidak akan berulang pada masa akan datang,” tambahnya.
JAKIM juga akan terus memantau dan memberi bimbingan bagi memastikan aktiviti hiburan di negara ini selaras dengan norma budaya dan nilai-nilai Islam. – MalaysiaGazette