Hector Bidoglio (kiri) bersama-sama Matthew Davies dalam sidang media menjelang perlawanan ACLE di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menjangkakan perlawanan yang sengit dengan Pohang Steelers FC pada aksi terakhir peringkat kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), apabila melayan kunjungan Pohang Steelers malam ini.

Namun pengendali kelahiran Argentina itu bertekad melakar kemenangan pada aksi terakhir berkenaan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini.

Bidoglio berkata, biarpun hanya memerlukan seri untuk mengesahkan slot ke pusingan 16 ACLE kali ini, skuad Harimau Selatan itu diharap dapat mempamerkan aksi terbaik ketika berdepan wakil dari Korea Selatan itu.

Malah, beliau turut menjangkakan tentangan sengit daripada pelawat yang turut memburu slot ke saingan kalah mati itu.

“Kami berada dalam kedudukan terbaik untuk layak ke pusingan 16 dan kemenangan ini akan memberikan kelebihan kepada kami.

“Oleh itu, kami perlu bekerja keras bagi memastikan tiga mata menjadi milik JDT,” katanya dalam sidang akhbar di stadium tersebut hari ini.

JDT kini berada di tangga kelima dalam saingan peringkat kumpulan Zon Timur dengan 11 mata, manakala Pohang Steelers di tempat kelapan dengan sembilan mata.

Dalam pada itu, Bidoglio mengakui lega apabila kesemua pemain berada dalam keadaan terbaik termasuk Juan Muniz dan Murilo Henrique yang kembali ke pangkuan pasukan selepas menjalani penggantungan perlawanan.

Katanya, skuad Harimau Selatan itu turut diperkuatkan dengan kehadiran pemain import baharu, Anselmo Morales, 35, yang menyertai pasukan dua hari lalu.

“Anselmo seorang pemain berpengalaman dan kehadirannya akan memperkukuhkan lagi bahagian tengah setelah kita kehilangan khidmat  Roque Mesa yang mengalami kecederaan ACL (ligamen anterior cruciate), ketika menentang Central Coast Mariners minggu lalu,” katanya.

Sementara itu, Bidoglio berkata, JDT kini sudah hampir mencapai sasaran mara ke pusingan 16 terbaik.

Bagaimanapun, beliau mahu melihat sejauh mana anak didiknya itu mampu melangkah dalam saingan ACLE musim ini.

“Pada awalnya, sasaran kami hanyalah untuk layak ke pusingan 16, dan kini kami semakin hampir mencapainya.

“Kini, kami perlu menjadi lebih kuat untuk terus melangkah lebih jauh,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here