JASIN – Jenazah lima beranak yang rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Berangan Enam, Umbai awal pagi Khamis lalu selamat dituntut keluarganya hari ini.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, pihaknya telah menerima hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada Jabatan Kimia Johor yang mengesahkan identiti lima mangsa berkenaan.
Lima mangsa berkenaan ialah Laila Fathinah Mustapa, 37 dan empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah,13, Izz Daffa Hafizuddin,7, Nur Dalilah Khadijah, 6 dan Izz Danish Fathi, 4 tahun.
“Proses pemadanan DNA telah selesai yang mana hasil ujian diterima daripada Jabatan Kimia di Johor dan telah diserahkan kepada pihak forensik Hospital Jasin.
“Semua jenazah ini boleh dituntut oleh keluarga untuk urusan pengebumian dijangka selepas Isyak,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, ujian DNA terhadap lima beranak itu terpaksa dilakukan berikutan keadaan mangsa yang rentung kira-kira 80 peratus.
Jenazah lima beranak itu dituntut sendiri oleh Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35, yang merupakan satu-satunya ahli keluarga yang terselamat dalam tragedi menyayat hati itu kira-kira pukul 7.05 malam tadi.
Muhammad Khairuddin yang mengalami patah kaki akibat terlibat nahas jalan raya pada 30 Januari lalu dilihat tenang melihat semua jenazah ahli keluarganya dibawa menaiki lima van jenazah berasingan.
Jenazah dijangka akan dibawa ke Masjid Baiturrahman Kampung Berangan Enam untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Wakaf Hj Johari Bakar di kampung berkenaan. – MalaysiaGazette