KUALA LUMPUR – PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM) tidak mempunyai kuasa untuk mengubah mana-mana syarat atau kaedah pemeriksaan.
Tegasnya, semua operasi pemeriksaan dijalankan mengikut kaedah dan prosedur yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman berkata, walaupun terdapat pandangan bahawa pelekat berat muatan yang pudar tiada kaitan dengan keselamatan jalan raya, PUSPAKOM tetap perlu mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Kami tidak mempunyai kuasa untuk mengubah kaedah-kaedah yang telah ditetapkan. Walaupun perkara tersebut mungkin dianggap bukan berkaitan keselamatan, kami perlu memastikan bahawa pemeriksaan dilaksanakan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
“Jika tidak, kami boleh didenda oleh JPJ.
“Semua pemilik kenderaan tahu apa syarat yang perlu dipatuhi. Jika mereka membawa kenderaan yang tidak mematuhi syarat untuk pemeriksaan, ini menunjukkan sikap sambil lewa mereka terhadap syarat dan kaedah yang telah dikuatkuasakan. Inilah masalah sikap yang kita perlu tangani,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memberi respons terhadap isu yang yang dibangkitkan oleh Setiausaha Persatuan Lori Sibu, Augustine Paat pada 16 Februari lalu berhubung pemeriksaan berkala lori yang dijalankan oleh PUSPAKOM.
Menurut Augustine, terdapat situasi pemeriksaan lori gagal atas alasan yang tidak munasabah seperti pelekat berat muatan di sisi lori sudah pudar.
Sedangkan katanya, pelekat tersebut tidak mempunyai kaitan dengan faktor keselamatan sesebuah kenderaan.
Tambah Mahmood Razak, sebagai syarikat yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri pemeriksaan kenderaan, PUSPAKOM berharap semua pihak terus memberi kerjasama dalam memastikan keselamatan jalan raya sentiasa terjamin.
Ini boleh dilakukan melalui pemeriksaan yang telus, profesional, dan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.- MalaysiaGazette