JIM Johor menahan 130 warga asing dalam beberapa siri operasi di 35 premis sekitar Johor, malam Jumaat lalu.

JOHOR BAHRU- Seramai 130 warga asing dan dua majikan warga tempatan ditahan dalam operasi serentak melibatkan 36 premis di lima daerah pada malam Jumaat lalu.

Semua warga asing itu diberkas dalam beberapa operasi bermula pukul 12 tengah malam melibatkan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Setia Tropika serta Unit Penguatkuasa Cawangan Muar, Segamat, Mersing dan Batu Pahat.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi berkenaan melibatkan daerah Johor Bahru, Batu Pahat, Mersing, Muar dan Segamat.

Beliau memberitahu, di Johor Bahru seramai 90 warga asing ditahan selepas pemeriksaan di 18 buah premis termasuk kilang dan penempatan pekerja tapak pembinaan.

“Semua warga asing yang ditahan berusia antara 21 hingga 54 tahun.

“Di Batu Pahat, sembilan warga asing ditahan dalam Ops Gegar. Dua majikan lelaki warga tempatan berusia 32 dan 53 tahun yang merupakan penjaga dan pemilik pusat refleksologi tersebut turut ditahan.

“Sementara operasi di Mersing melibatkan serbuan Ops Bersama di tujuh buah premis berjaya menahan 12 warga asing berusia antara 18 hingga 55 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Ops Selera, Ops Gegar dan Ops Sapu di Muar pula berjaya menahan 12 warga asing berusia antara 21 hingga 43 tahun.

Operasi tersebut katanya, melibatkan serbuan di tujuh buah premis.

Menurutnya, Ops Gegar yang melibatkan serbuan di tiga buah pusat refleksologi di Segamat berjaya menahan tujuh warga asing berusia antara 23 hingga 40 tahun.

Tambahnya, keseluruhan warga asing yang ditahan dalam operasi itu melibatkan empat wanita warganegara China, lima wanita Thailand, 17 lelaki dan 17 wanita Indonesia, enam wanita Vietnam, 23 lelaki dan lima wanita Myanmar, dua lelaki warga India, 36 lelaki Bangladesh serta 15 lelaki Pakistan.

“Semua warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya lagi.

Tahanan warga asing ditempatkan di Depoh Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan dan tindakan lanjut, katanya.

Pada masa sama ujarya, sebanyak 12 notis hadir ke pejabat dikeluarkan JIM Johor bagi membantu siasatan.

JIM Johor tegasnya, akan terus mempergiat penguatkuasaan dan operasi bagi membanteras warga asing yang melakukan kesalahan bawah akta dan peraturan Imigresen.

“Jabatan ini juga akan memerangi dan tidak akan berkompromi dengan majikan, pemilik premis serta individu-individu yang didapati menggaji serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here