Aznan beramah mesra dengan Muhammad Aisy Firas Mohd dan Muhammad Aisy l pada hari pertama sesi persekolahan di SK Kota Puteri 4, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG – Sepasang kembar seiras, Muhammad Aisy Firas Mohd Hairin dan Muhammad Aisy Faris Mohd Hairin mencuri tumpuan pada hari pertama Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Puteri 4, di sini, hari ini.

Pasangan kembar berkenaan sangat gembira dan tidak berasa takut memulakan hari pertama tahun satu di SK berkenaan.

Ibunya yang juga Guru di sekolah berkenaan, Siti Sarah Zaiton, 39, berkata, anak kedua dan bongsunya itu bersemangat untuk ke sekolah kerana sebelum ini belajar di peringkat pra sekolah di sekolah yang sama.

Dia yang mengajar subjek Pendidikan Islam berkata, keterujaan mereka dapat dilihat apabila hanya sekali mengejutkan kedua-dua anaknya pada pukul 5.30 pagi untuk ke sekolah.

“Hari ini saya kejut sekali sahaja, masing-masing terus bangun, mandi, bersiap dan sarapan tanpa banyak kerenah dan ragam.

“Saya tidak bimbang sangat kerana mereka telah belajar peringkat pra di sekolah sama. Alhamdulillah rezeki saya juga dapat lihat anak hari pertama sekolah tahun satu,” katanya ditemui di SK berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin melakukan lawatan ke sekolah tersebut iaitu satu daripada empat Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang bermula hari.

Sementara itu, eksekutif syarikat elektrik, Nadzrul Iskandar Jalani, 36, turut berkongsi keterujaan anak bongsunya melangkah ke alam baru persekolahan tahun ini.

Kata beliau, anaknya bersemangat, tidak menangis dan tidak sabar untuk berkenalan dengan rakan baru.

“Risau juga sebab anak lelaki saya yang ini kurang bercakap, tetapi ada abangnya tahun tiga di sekolah sama jadi kurang sikit rasa bimbang.

“Nanti waktu rehat akan lihat anak, ajarkan apa yang perlu untuk membeli makanan dan sebagainya,” katanya.

Bagi Pegawai Penjara, Diana Alida Md Yusuff, 41, anak bongsunya sudah tiga hari bertanyakan mengenai persekolahan baru.

“Saya kejut pukul 6 pagi dia terus bangun semua buat sendiri. Pergi dan pulang memang saya ambil sebab jarak sekolah agak jauh sedikit. Risau juga sebab ini baru kali pertama ke alam persekolahan formal. Harap semua berjalan lancar,” katanya.

Seramai 55,503 pelajar tahun satu di Johor memulakan sesi persekolahan bagi kumpulan B yang bermula hari ini.

Sesi persekolahan ini adalah pertama kali buat Johor bersekolah pada hari Isnin, selepas 10 tahun dalam kumpulan A yang mana sesi persekolahan bermula pada Ahad. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here