Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 13 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Manfaat pembangunan industri minyak dan gas di Sarawak merangkumi pelaburan huluan dan infrastruktur berjumlah lebih RM280 bilion sejak 1976.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, dianggarkan lebih RM90 bilion nilai kontrak yang dibelanjakan dalam tempoh 10 tahun lepas, antara 2014 hingga 2024.

“Syarikat vendor berdaftar dari Sarawak telah mendapat kontrak melebihi RM40 biliion dalam tempoh sama,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri berkata, Sarawak juga telah menerima bayaran tunai sebanyak RM49 bilion sehingga Disember 2024 serta bayaran cukai jualan sebanyak RM18.66 bilion sehingga suku ketiga tahun lalu.

“Sarawak juga menerima dividen sebanyak RM28.6 bilion sehingga Disember 2024 melalui pegangan saham State Financial Secretary of Sarawak (SFS) dalam Syarikat Kumpulan MLNG,” katanya.

SFS merupakan sebuah syarikat yang diperbadankan di bawah State Financial Secretary (Incorporation) Ordinance, 1948.

Selain itu, kata Perdana Menteri, Petronas juga telah menyumbang secara langsung kepada usaha pembangunan modal insan warga Sarawak sejak 2014.

“Sepanjang 10 tahun lalu, lebih RM600 juta telah pun dibelanjakan untuk pelbagai usaha pendidikan dan pembangunan modal insan.

“Lebih 680,000 warga Sarawak telah mendapat tajaan dalam bentuk biasiswa selain program latihan untuk warga pendidik.

“Lebih 4,300 warga Sarawak pula mendapat peluang pekerjaan di dalam Petroleum Sarawak (Petronas),” katanya.

Menurutnya, hasil mahsul besar yang diraih selama ini daripada Petronas dijadikan sebagai dana utama di peringkat awal pembentukan negara serta juga pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Malaysia.

“Ini semua berkat negeri Sarawak Bumi Kenyalang dan kerjasama erat dan akrab Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Maka sebab itulah kita memilih untuk memberikan sedikit penyesuaian dan pengiktirafan kepada peranan Petros untuk terus menjana pertumbuhan ekonomi Sarawak.

“Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana muafakat ini terus dikekalkan malah ditambah mantapkan buat menjamin kesejahteraan negara dan negeri Sarawak,” katanya.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Petronas, Jemaah Menteri, Premier Sarawak serta Kerajaan Negeri Sarawak kerana bersetuju dengan kerjasama yang diberikan sepenuhnya.

“Negara telah membangunkan prakasa utama dalam rangka menjana industri petroleum dan gas dengan memperkenalkan Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144] yang diluluskan sebulat suara di Dewan yang mulia ini.

“Petronas memenuhi mandat negara dengan pengurusan mantap sehingga terkenal sebagai di antara gergasi di dalam industri petroleum dunia malah muncul sebagai di antara penjana hasil utama belanjawan negara selama hampir setengah abad.

“Kini dengan kemunculan syarikat minyak negeri, Petros ada kewajaran untuk dimantapkan persefahaman dan kerjasama bagi memenuhi kerukunan di atas semangat Persekutuan,” katanya.

Tambah beliau, permuafakatan wajar dimeterai agar tatakelola dasar dan pengembangan industri petroleum dan gas terus semarak dan memenuhi mandat Akta PDA 1974 dengan mengambil kira peranan Petros selanjutnya.

“Dengan menekuni semangat persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak memperakui dan mengiktiraf Akta PDA 1974 sebagai Akta Persekutuan.

“Menyambut aspirasi Sarawak yang berhasrat menceburi kegiatan industri minyak di Sarawak dan hasrat dijelmakan melalui Distribution of Gas Ordinance 2016 (DGO) dan berkuatkuasa pada 1 Mac 2025.

“DGO dibaca sekali dengan Akta PDA 1974, maka, PETROS berperanan sebagai agregator di Sarawak,” katanya.

Selain itu, katanya, Petronas akan mengekalkan semua perjanjian domestik dan antarabangsa sedia ada.

“Petros di bawah DGO dijamin memperolehi gas asli sehingga 1.2 billion kaki padu sehari untuk keperluan domestik Sarawak dengan jaminan penambahan berdasarkan keperluan berikutnya.

“Petros juga berwewenang meluaskan kegiatan baharu dan memanfaatkan kerjasama dengan Petronas,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, Petronas dan Petros juga bergerak sederap sebagai rakan bagi menjamin kepentingan dan hasil negara serta kepentingan Sarawak.

“Segala rundingan terperinci berikutnya akan mengekalkan manfaat dan kepentingan bersama mengikut prinsip komersial secara telus,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast