KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) kembali mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat apabila membuat beberapa tuduhan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu penting melibatkan negara.
Ahli Parlimen Machang itu mendakwa Anwar gagal menarik pelaburan dan mewujudkan pekerjaan berkualiti walaupun melantik kroni dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Di bawah Tambun (Ahli Parlimen Tambun, Anwar), Malaysia gagal mencipta pekerjaan berkualiti. Yang kaya hanya kroni dan kapitalis besar.
“Saya juga mendesak PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) menyiasat penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dengan jualan saham lebih murah.
“Modal perniagaan MAHB jual murah beli dan ini satu pengkhianatan kepada pencarum sehingga timbul kerugian yang dikata Ahli Parlimen Ayer Hitam. PAC perlu senarai lengkap semua dana yang membeli saham MAHB yang dijual murah pada tahun 2023.
“Saya yakin sebahagian daripada pembeli saham MAHB ini yang dijual Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ada hubungan dengan BlackRock,” dakwanya ketika membahaskan Titah Diraja, di sini, hari ini.
Namun dakwaannya dibantah Ahli Parlimen kerajaan kerana berpandangan Wan Fayhsal tidak mempunyai ‘standard’ dan membuat dakwaan jahat di Dewan Rakyat.
Terus menghangatkan suasana, Wan Fayhsal turut menyentuh titah adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menghabiskan baki hukuman penjara bawah tahanan rumah.
Namun, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Syahredzan Johan menegur Wan Fayhsal agar tidak menyentuh perkara itu atas keputusan Speaker Johari Abdul sebelum ini.
Beliiau kemudian minta semua Ahli Parlimen bertenang dan menjadi lebih bertamadun di Dewan Raykat.
“Kita semua orang bertamadun, kalau nak cakap minta laluan dulu dan jangan bangkitkan isu titah adendum lagi. Saya tidak benarkan bahas isu titah adendum buat masa ini kerana sudah ada ‘ruling’ dibuat oleh speaker,” katanya.
Pada Julai lalu, Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula 18 Julai lalu, susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Keputusan itu diumumkan Johari selepas usul berkenaan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, dengan 110 Ahli Parlimen bersetuju dan 63 tidak bersetuju, selepas undi belah bahagi dijalankan, manakala tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir. – MalaysiaGazette