KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan hanya akan mempertimbangkan projek strategik yang memberi impak tinggi kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat selaras dengan keutamaan dasar kerajaan.
Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying bagaimanapun berkata, kerajaan sentiasa menilai dan menambah baik pelaksanaan projek kerajaan termasuk projek kerjasama awam-swasta (PPP) bagi memastikan ia kekal sebagai instrumen pembiayaan yang berdaya maju tanpa memberi tekanan kepada kedudukan fiskal negara dalam jangka panjang.
“Selain itu, kerajaan memperkukuh mekanisme pemantauan dan pelaporan bagi memastikan ketelusan dalam perjanjian konsesi serta mengelak risiko liabiliti luar jangka yang tidak terkawal.
“Dalam hal ini, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 berfungsi sebagai kerangka utama bagi memastikan disiplin fiskal termasuk mengawal tahap hutang dan liabiliti kerajaan,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Hui Ying berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) jika kerajaan mempertimbangkan untuk melaksanakan kerjasama awam untuk projek infrastruktur yang besar.
Menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai pemantauan projek awam-swasta, Hui Ying berkata, kerajaan sentiasa memantau dengan teliti semua projek yang dilaksanakan melalui mana-mana kaedah kerjasama.
“Komitmen kerajaan ialah memastikan pengurusan fiskal yang berhemat dan pada masa yang sama, kita mahu memperkukuh daya tahan ekonomi negara,” katanya. – MalaysiaGazette