Ruji (tengah) menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 kepada murid sekolah Sempena Pembukaan Persekolahan Kalendar Akademik Sesi 2025/2026 Melaka di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru, Melaka hari ini

MELAKA – Kementerian Pendidikan (KPM) telah meluluskan peruntukan berjumlah RM9 juta untuk menghantar kira-kira 50 guru mengikuti kursus di luar negara termasuk Amerika Syarikat (AS).

Ketua Setiausaha KPM, Datuk Ruji Ubi berkata, peruntukan itu baru diperolehi minggu lalu dengan sasaran untuk menghantar antara 20 hingga 50 guru terpilih setahun mengikuti kursus berkenaan di beberapa buah negara termasuk Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, usaha itu selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melahirkan masyarakat Madani yang lebih kompeten khususnya para guru.

“Guru-guru ini termasuklah sama ada di KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), daerah untuk kursus di unversiti terkemuka di luar negara dalam hal-hal yang berkaitan kepimpinan dan teknologi kecerdasan buatan (AI)

“Kursus antara sebulan hingga tiga bulan ini boleh dibuat sedekat Singapura kerana ada beberapa buah institusi yang baik di sana dan juga kemungkinan universiti-universiti di Amerika Syarikat,” katanya.

Ruji Ubi

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja Sempena Pembukaan Persekolahan Kalendar Akademik Sesi 2025/2026 Melaka di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dan Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor.

Mengulas lanjut Ruji berkata, pemilihan guru terlibat akan diputuskan melalui jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan olehnya sendiri bersama Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan.

Ruji (tengah) bergambar bersama murid penerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 Sempena Pembukaan Persekolahan Kalendar Akademik Sesi 2025/2026 Melaka di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru, Melaka hari ini.

“Usaha ini suatu yang sangat-sangat signifikan selaras dengan hasrat Perdana Menteri yang sentiasa menyebut beberapa kali kualiti akses pendidikan ini bukanlah hanya bercakap mengenai infrastruktur dan kurikulum.

“Sebaliknya, guru juga hendaklah ditingkatkan kemahiran mereka untuk melahirkan masyarakat Madani yang lebih kompeten, efisien dan lebih prihatin,” tambahnya.

Jelasnya, jawatankuasa pemilihan mungkin mengambil masa sebulan atau dua lagi untuk mengenal pasti calon guru yang layak selain mencari universiti-universiti ternama di luar negara sebagai lokasi kursus berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here