Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek membuat tinjauan hari pertama pembukaan sekolah di SK Taman Pelangi 43500 Semenyih, Selangor. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 FEBRUARI 2025

SEMENYIH – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah jangka pendek bagi menangani isu sekolah padat melibatkan pembinaan kelas kabin pasang siap.

Selain itu, kementerian tersebut akan melaksanakan sesi persekolahan dua sesi yang mana ia merupakan dua pendekatan bagi mengatasi isu sekolah padat terutamanya di Selangor.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, di Selangor sahaja, terdapat 95 buah sekolah terlibat dalam penggunaan kelas kabin 301 bilik darjah dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM69 juta.

“Kabin ini menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS), bukan yang selalu digunakan oleh kontraktor,  sebaliknya kabin ini diubah menjadi sebuah bilik darjah kondusif.

“Selain itu juga, saya mohon kerjasama ibu bapa supaya kita boleh melaksanakan penyuraian, dua sesi persekolahan ini yang perlukan komitmen semua orang,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan sempena sesi persekolahan sesi 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

SK Taman Pelangi Semenyih yang baharu siap dibina memulakan operasinya pada hari ini.

Sementara itu, Fadhlina memberitahu, KPM sentiasa serius dan komited dalam menangani isu kelewatan pembinaan sekolah seperti SK Taman Pelangi Semenyih yang sepatutnya beroperasi pada 2018.

“Perkara lebih membimbangkan apabila projek pembinaan sekolah baharu dikategorikan sebagai projek sakit, kesannya daripada ini ialah pendidikan kepada pelajar.

“Oleh yang demikian, KPM komited dalam memantau selain intervensi bagi memastikan displin kerja dalam pembinaan sekolah sentiasa mengikut masa dan terjaga. Kerajaan Madani sangat komited menyelesaikan projek-projek tertangguh,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here